Friday, January 23, 2015

Nak Pukul Orang? Inilah Petua-petuanya



{ 1 }

Sebelum ini aku ada menyatakan bahawa di antara hobiku semenjak zaman kanak-kanak “ribena” dahulu adalah Alam Persilatan & Seni Mempertahankan Diri. Minat tu memang masih ada dan semakin menyala-nyala hingga ke saat ini.

Yang aku tak minat @ benci ialah apabila bertemu dengan manusia yang takbur @ “poyo-poyo” @ “yok-yok on” @ “macam best aje” @ syok sendiri. Tak kiralah siapa, lebih-lebih lagi jika orang yang bersifat itu adalah orang yang ada ilmu persilatan @ seni tempur jarak dekat (bukan menggunakan senjata api).

Di dalam berperang, termasuklah bertempur ataupun bergaduh, ada 2 sahaja keadaan yang berlaku, iaitu samada menyerang ataupun diserang. Keadaan ketiga iaitu tidak menyerang orang dan tidak pula diserang adalah ketika keadaan aman-damai tanpa sebarang konflik.

{ 2 }

Ada seorang guru Seni Mempertahankan Diri yang aku berkawan dengannya. Dia tidak suka “SENI”nya itu dipanggil “SILAT”. Baginya “SILAT” (Silat Melayu) tidak layak dibangsakan kepada seninya itu kerana “ Silat Melayu kerjanya menari dan berlenggang-lenggok sedangkan yang saya ajar ini adalah memukul dan belasah. Sebab itulah namanya SENI TEMPUR “, katanya.

Jika sekadar itulah hujahnya, aku tidak hairan. Bagiku hujahnya itu dangkal. Dia lupa asal-usul tok-nenek moyang kita mempertahankan Agama, Bangsa dan Tanah Air itu dengan berpunca dari “SILAT MELAYU“ yang dikatakan kerjanya “asyik menari” dan “berlenggang-lenggok” itulah. Namun sikapnya yang sangat ku kesali adalah TAKBUR dan BESAR DIRI @ SYOK SENDIRI @ “MACAM BAGUS AJE “.

Jika ada orang yang menziarahi gelanggangnya itu dari Aliran Silat Gayong (sebagai sebuah contoh), maka dia akan “menepuk dada” dan berkata kepada si penziarah itu; “Silat kamu tak ada teknik macam ini, kan?. Setakat silat macam kau tu, senang-senang aje aku ‘makan’ “.

Andainya datang pula pengamal Silat Pulut @ Silat Tari @ Silat Pengantin, maka si kawanku ini akan mengatakan: “Alahai, setakat Silat Tari tu. Menari sana-sini, lari sana-sini. Senang-senang aje aku ‘sebat’ “. Bukan setakat mulutnya sahaja yang “kepoh” (heboh), malahan dia mengajuk pula aksi-aksi dan gaya-gaya silat yang dirasakannya tidak menarik dan tidak bagus itu.

Sekiranya yang datang itu pula adalah pesilat-pesilat dari Aliran Silat Kalimah atau Silat Cekak, maka dia pun akan “mencece” dan merendah-rendahkan silat itu dengan katanya: “ Eleh, setakat silat macam kau tu, tangkap sana, tangkap sini. Mengadap aku, tak tertangkap kau pukulan-pukulan aku ini“. Satu hari, muridnya datang menemuinya dengan membawa seorang rakannya untuk menziarahi gelanggangnya. Sebaik sahaja diketahui bahawa rakan muridnya itu adalah pesilat Sendeng, langsung mulutnya berkata: “ Kau kata kau belajar Silat Sendeng, tapi dengan aku pun kau tak dapat ‘berdiri’. Apa yang kau belajar?, Kalau setakat ‘Pukulan 7 Hari’ tu, alah, hanya indah khabar dari rupa. Jangan-jangan tok guru kau yang mengajar Silat Sendeng itu pun tak reti apakah yang dikatakan ‘Pukulan 7 Hari’ itu sebenarnya, ataupun dia sembunyikan ilmu itu dari pengetahuan kau ”.

Apabila dia (jurulatih yang suka mengomel dan mencece ini) menceritakan pengalamannya diziarahi oleh pengamal Silat Sendeng itu dan tak tahan ‘berdiri’ dengannya, aku pun berkata kepadanya: “Agaknya pesilat Sendeng itu baru belajar kot?. Takkanlah dia itu orang yang benar-benar faham Silat Sendeng atau Pengamal ‘Pukulan 7 Hari’?. Kalau dia hanyalah murid yang baru belajar dan tak mampu ‘berdiri’ dengan abang (aku memanggil jurulatih yang berlagak sombong ini sebagai ‘ABANG), maka usahlah berbangga diri“. Dia pun membalas soalanku itu dengan mengatakan: “Eh, taklah. Budak Silat Sendeng itu memang dah belajar sampai ke tahap ‘Pukulan 7 Hari’. Aku pun bertanya dia lagi sambil ‘mengumpan‘ dengan kataku: “Beginilah ajelah bang. Saya ada beberapa kawan yang tekun belajar dan mengajar Silat Sendeng. Abang hendak ke tidak jika saya panggil dia ‘berdiri‘ mengadap abang?“. Dia pun terdiam dan tidak lagi memberikan sebarang responku itu.

Apabila ada seorang guru aliran Silat Harimau tidak “menyambut“ cabarannya dahulu (entah iya entah tidak dia benar-benar mencabar guru Silat Harimau itu), dia pun makin rasa “bangga diri“ dan berkata kepadaku: “Guru Silat Harimau pun tak berani ‘mengadap’ aku, apalah sangat ilmu dia tu. Nama aje ngajar silat sampai ke negara orang putih, tapi dengan aku pun dia tak berani nak berdiri“.

Begitulah sikapnya apabila ditanya pandangannya mengenai “permainan orang lain“. Semuanya baginya serba tak bagus dan semuanya serba lemah. Sikap itu kemudian didoktrinasikan kepada murid-muridnya dengan mengatakan: “Semua anak murid aku, kalau ‘berdiri‘ dengan orang lain, pasti takkan jatuh (kalah)“.

{ 3 }

Sepatutnya “abang“ itu berfikir begini sebelum bertindak “sembang kemas“ (walhal ‘tak kemas” mana pun) di khalayak orang ramai, khususnya yang bukan “sealiran“ dengannya. Apakah yang perlu dia pastikan sebelum dia boleh “ memukul canang dan mengangkat diri sendiri “ . Inilah jawapannya:

a – Apakah dia benar-benar yakin bahawa lawannya itu sudah pasti lebih lemah dan lebih buruk hingga dapat ditumpaskan?.

b - Mungkinkah juga orang itu tidak menyahut cabarannya kerana orang itu merasa“ malas melayan perangai kebudak-budakan“ jurulatih yang takbur itu.

c – Atau, mungkin juga orang-orang yang datang menziarahinya atau belajar darinya itu “menyembunyikan kuku“ agar dapat mengetahui dan merasai ilmu dan “permainan“ yang baru ditemuinya.

d – Katakanlah si jurulatih itu benar-benar dapat mengalahkan lawan yang dicabar pada hari itu, apakah dia juga dapat mempastikan bahawa esok-lusa-tulat ….. dan seterusnya akan menjamin kemenangan bagi pihaknya?.

e – Atau mungkinkah juga cabaran itu tidak disambut kerana khuatir ia akan berlarutan hingga menimbulkan “kes polis“ pula nanti .

Pendek kata: Jika cabaran seseorang itu tidak disambut oleh lawannya, belum tentu itu berarti lawannya itu penakut, pengecut, bacul dan seumpamanya.

Maka, berfikirlah dengan hati yang jernih dan akal yang waras sebelum anda mencabar atau menyahut cabaran seseorang untuk “bertumbuk“ (berkelahi). “Sesal dahulu, pendapatan. Sesal kemudian, tiada berguna“.

{ 4 }

Adakah anda diberikan amanah untuk mengendalikan sesebuah gelanggang silat / dojo / studio Seni Mempertahankan Diri?.

Jika ya, pasti ada beberapa orang yang datang untuk belajar daripada anda. Dan mereka itu kemudiannya akan dipanggil sebagai “murid-murid“ @ “pelajar-pelajar“ .

Ketika anda menunjukkan beberapa teknik dan kaedah, apakah ada diantara murid-murid anda yang “MEMBANGKANG @ MEMBANTAH CARA ANDA DENGAN CARA BIADAP / KURANG AJAR ???“.

Tidak ada !?. Apa memang benar tidak ada di kalangan mereka yang membantah dan bertindak biadap terhadap anda sebagai “guru @ cikgu“ di gelanggang itu?.

Sekali lagi, mari saya dan anda fikirkan bersama. Jika ya memang tiada murid-murid anda bersikap begitu adakah itu bermakna anda lebih hebat, lebih kuat, lebih sempurna dan lebih segala-galanya daripada murid-murid anda itu?.

Dua orang guru silat yang sangatku hormati dan bergaul denganku iaitu Pak Jauhari (Pak Jo); Guru Tua Silat Kalimah (Yahya Said) dan Abang Yahya Endau; Pakar Rujuk Seni Lian Buah Pukul di Endau, Mersing. Kedua-duanya pernah menyebut dan memberikan nasihat kepadaku yang sama isinya dan serupa moralnya, iaitu: “Apabila seseorang itu datang menuntut ilmu (Silat) dari kita itu bermakna dia telah sanggup menyerahkan tengkuknya kepada kita. Dia rela dikenakan syarat itu dan ini asalkan tujuannya untuk mendapatkan ilmu dari kita tertunai. Dia rendahkan dirinya dan dia sembunyikan kebolehannya agar kebolehan dan kemampuan kita sebagai gurunya terserlah dan dapat dia nikmati. Mungkin juga dia lebih banyak belajar berbanding kita tetapi demi mendapatkan ilmu kita, dia tidak menonjolkan ilmu dan kebolehannya. Bukanlah guru itu mesti tahu serba-serbi dan bukanlah murid itu juga pastinya jahil semua hal. Itulah hakikatnya seorang guru dengan seorang murid. Guru hanyalah ibarat pemandu ataupun posmen (penghantar surat). Jadi, apalah gunanya anda mendabik dada jika orang yang anda kalahkan itu adalah pelajar / murid anda sendiri !? “ .

Nasihat dari dua orang guru silat yang sangat kuhormati itu benar-benar tepat dengan peganganku selama ini. Dan nasihat seperti itu juga aku biasa sampaikan kepada rakan-taulanku yang aktif di dalam mengembangkan Silat Melayu ataupun apa-apa sahaja aliran Seni Mempertahankan Diri.

Jika ada di antara mereka yang cuba-cuba memujukku untuk bertemu (samada untuk ziarah ataupun belajar) dari mana-mana guru yang aku berkenan dan senang dengan sikapnya maka, aku akan berkata kepada rakanku itu: “If you do not first empty your cup, how can you taste my cup of tea?“ (Jika anda tidak mengosongkan terlebih dahulu cawan teh anda, bagaimanakah dapat anda merasakan nikmatnya teh bakal saya tuang ini?) .

Biasa juga aku menasihati diriku sendiri dan rakan-taulanku yang ingin belajar sesuatu silat yang baru ditemui dengan kataku: “Kita tanggalkan terlebih dahulu segala baju silat yang telah kita ada dan sangkut di luar gelanggang. Nanti nak balik, kita ambil semua baju-baju itu. Jika tidak begitu, sampai bila pun kita tidak akan dapat membezakan mana satukah baju dari orang itu dan baju orang ini“.

Itulah sedikit-sebanyak petua yang perlu anda pegang jika anda betul-betul mahu memukul dan “membelasah“ seseorang.

Jika aku pula, bagaimana?. Terus-terang aku katakan, aku bukanlah orang yang berani “semberono“. Tidak juga orang yang “taksub tak tentu punca“. Bukan juga seorang yang “penakut hangit“ atau “pengecut“ . Dan aku lebih suka mempertimbangkan sesuatu kehendak dan niat aku itu dengan timbangan Syariat dan Akal yang waras. Aku tidak mahu kalah….. kalah dengan nafsu ammarah yang dirajai oleh syaitan laknatulLoh sebelum aku mengalahkan lawanku itu.

Jika ada yang beranggapan bahawa sikapku itu akan menyebabkan aku dipandang rendah dan diperlekehkan oleh rakan dan lawanku, maka aku akan menjawab:

“Sepanjang hidupku, aku tak pernah terlintas untuk menjadi orang yang paling hebat, paling kuat, paling tinggi ilmu di dalam Ilmu Persilatan atau jadi big boss. Yang aku kejar ialah untuk menjadi paling hampir dengan redha ALLAH, Tuhanku Yang Paling Kuat Lagi Tiada Tandingan bagi-NYA. Aku bukan peduli apa orang nak kata terhadapku. Yang lebih aku peduli adalah apakah tindak-tandukku itu akan mengundang redha TUHANku itu atau sebaliknya (Na’udzu bilLahi min Dzalik) “.

Sekian. Wassalam

Cindai Pelangi ® Isnin – 14 / Muharram / 1432 H = 20 / Disember / 2010 M KUALA LUMPUR

Sumber asal: http://penacindaipelangi.blogspot.com/2010/12/nak-pukul-orang-inilah-petua-petuanya.html

No comments:

Post a Comment