Thursday, March 31, 2011

Silat Aku Adalah Yang Terbaik

Rasanya ramai daripada kita yang biasa dengar ungkapan seperti tajuk di atas atau yang sewaktu dengannya. Bukan sikit ahli seni beladiri, tak kira silat atau bukan silat yang taksub melampau-lampau kepada aliran yang dipelajarinya. Ya lah, kalau sejak dari awal belajar lagi dah disajikan dengan macam-macam cerita kehebatan alirannya, guru kita pernah kalahkan si polan si polan, jurulatih kita pernah tumbangkan silat tu silat ni, ahli kita pernah belasah mamat tu mamat ni.... mana anak muridnya tak taksub?

Cerita yang didendangkan tu mungkin betul mungkin juga rekaan. Jika rekaan alamat hidup-hidup la kena tipu penuntut tersebut, jika betul sekalipun, adakah kemahiran kita-kita yang bangga gila dengan aliran kita ni sama tingginya dengan guru-guru, jurulatih-jurulatih dan ahli-ahli kita yang pernah tumbangkan ahli beladiri aliran lain tu? Dan jika betul sekalipun adakah lawan kita nanti kemahirannya lebih rendah dari lawan yang pernah bertempur dengan guru-guru, jurulatih-jurulatih dan ahli-ahli kita yang pernah tumbangkan ahli beladiri aliran lain tu?


Kita belajar silat cekak, kita akan diceritakan kehebatan silat cekak belasah silat gayung...kita belajar gayung, kita akan diceritakan kehandalan gayung tumbangkan pesilat cekak... Tomoi akan cerita diaorang kalahkan tae kwon do, tae kwon do kalahkan ahli karate....dan begitulah seterusnya. Semua itu ada betulnya dan mungkin ada tokok tambah, tetapi isunya di sini adalah bukan aliran beladirinya, tetapi pengamal beladirinya. Sebagus mana aliran beladirinya sekalipun, kalau latihanpun celap celup, kalau belajar dah beberapa tahun tapi turun gelanggang hanya 2 bulan sekali, agak-agak boleh ke lawan ahli aliran lain yang baru belajar beberapa bulan tapi berlatih setiap hari? Maknanya kemahiran akan diperolehi melalui latihan, latihan pula merujuk kepada kekerapan berlatih, bukan lamanya jangka masa kita mula belajar beladiri tersebut. Bak kata salah seorang guru kepada watak Mas Oyama, pengasas Karate Kyokushin dalam cerita Fighter In The Wind, “You train 1,000 times, you are a beginner, you train 10,000 times you are a master”. Jadi sebelum nak riak dan bangga diri, cermin-cermin la jugak bagaimana dan berapa kerap kita berlatih.


Belajar seni beladiri adalah tentang ikhtiar dan tawakal. Ikhtiar sebagai persediaan menghadapi sekiranya berlaku pencerobohan atas diri, keluarga, bangsa dan agama kita. Bukanlah belajar itu untuk cabar-mencabar dan membanding-banding siapa yang lebih kuat atau aliran beladiri siapa lagi hebat. Aliran beladiri yang kau belajar hebat atau tidak, beladiri yang aku belajar mantap atau tidak, aku lebih mahir daripada kau atau kau lebih mahir daripada aku, ahli aku lagi ramai atau ahli kau lebih ramai adalah perbalahan yang sia-sia kerana semuanya perlu bersatu bila adanya pencerobohan atau bila keadaan memerlukan.

Untuk tidak berlakunya perbalahan begini memang agak sukar selagi namanya manusia, kerana sifat hasad dengki, sukakan kuasa dan kehebatan adalah memang naluri manusia, tetapi aku percaya jika guru-guru, jurulatih-jurulatih, abang-abang dan otai-otai aliran beladiri masing-masing memberikan teladan yang baik kepada penuntut-penuntut baru dan adik-adik yang baru berjinak-jinak dengan seni beladiri, keadaan ini tak mustahil boleh diperbetulkan.


Siapa boleh nafikan kehebatan dan ketepatan sepakan dan tendangan tae kwon do..? Tiada juga yang boleh pertikaikan kemantapan tumbukan dan kekemasan langkah karate, anda boleh pengsan atau mati kalau dikunci pesilat gayung, kepantasan tangan pesilat sendeng siapa yang tak tau?... buah serang atau buah sebiji silat cekak, kalimah dan lain-lain dari aliran Pak Ya ramai yang akui kehebatannya, dan tak kurang hebatnya juga jatuhan dan humbanan oleh ahli judo atau aikido. Seni beladiri...silat, tae kwon do, karate, kalari payat, silambam, aikido atau apa jua namanya sekalipun adalah ciptaan manusia yang pasti ada kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri. Belajarlah apa aliran beladiri sekalipun, selagi niat kita baik, aku yakin, DIA akan memudahkan dan membantu kita.

Pengalaman aku menyertai beberapa kursus intensif beladiri beberapa aliran membuatkan aku yakin, pemikiran ahli-ahli beladiri mula berubah ke arah yang lebih positif. Aku dapat saksikan sendiri bagaimana pengamal-pengamal beladiri pelbagai aliran yang bertaraf guru menghormati antara satu sama lain, sejuk hati dan mata memandang. Aku harap, cepat atau lambat, penyatuan dan keharmonian antara pengamal beladiri berbeza aliran ini akan menjadi realiti...dan tiada lagi ungkapan... “Silat Aku Adalah Yang Terbaik.” Aku harap begitulah...