Monday, May 11, 2015

Yamada : The Samurai of Ayothaya - Kompilasi Adegan Tempur

Dah lamo sebonanyo den nak upload keratan2 pilem neh...tapi disebabkan oleh kesibukan yang mengalahkan perdana menteri, maka kali ni la baru sompek nak mengedit dan mencantum part2 yang best ajo dari pilem neh... body diaorang2 neh semuo katang2 dan porut semuo six-pack...jeles den nengok eh...

Thursday, February 26, 2015

Scene gaduh dalam filem The Equalizer (2014)... marvellous... Citer penuh dia pun best. Ye la kan...mana ada citer lakonan Denzel Washington yang tak best. Aku dah tengok citer ni kat wayang tahun lepas...untuk yang belum tengok tu boleh la start download dan tengok...hehe...

Wednesday, February 25, 2015

Penjelasan Mengenai Ilmu Budi Suci oleh Dr. Amran Kasimin



SOALAN:

Ketika muda dahulu saya pernah mempelajari ilmu mempertahankan diri yang dikenali sebagai "Budi Suci". Saya masih ingat bacaan-bacaan yang diamalkan, tetapi tidak mengamalkannya lagi selepas setiap kali sembahyang. Kemusykilan saya, apakah sebenarnya ilmu Budi Suci itu? Adakah ia bertentangan dengan ajaran Islam atau tidak? Saya amat mengharap penjelasan daripada ustaz untuk menghilangkan keraguan saya. Terima kasih.  -- JAMALIAH ABDUL SAMAD, Sentul, Kuala Lumpur


JAWAPAN: 

Ilmu Budi Suci adalah merupakan salah satu ilmu kebatinan yang dipelajari untuk mempertahankan diri. Menurut sejarahnya, ia dilakukan oleh seorang yang mengasingkan diri (bertapa), di satu tempat dengan mengosongkan seluruh jiwa dan fikiran. Hanya Allah S.W.T. sahaja yang ada pada ingatannya. Dilakukan demikian adalah dengan niat dan harapan untuk memahami rahsia-rahsia hidup, manakala hal-hal kebatinan akan tersingkap di hadapannya, membolehkannya mempunyai kekuatan batin.

Ketika bertapa, latihan jiwa dilakukan. Di antaranya, ialah duduk bersila dengan mengosongkan ingatan dalam keadaan menghadap matahari naik dengan memejamkan kedua belah mata, meletakkan tapak tangan kanan di atas lutut kanan dan tapak tangan kiri di atas riba. Turun-naik nafas juga dijaga, bagaikan mendengar degupan jantung. Perlakuan dan kedudukan zahir yang menyerupai pertapaan Buddha, menyebabkan ilmu itu dinamakan ilmu Buddha Suci yang akhirnya bertukar menjadi ilmu Budi Suci. Ilmu ini, iaitu yang diperolehi melalui pengasingan diri (tapa) itu dikembangkan di Indonesia dan kemudiannya di Malaysia di tahun enam puluhan.

Dalam amalan Budi Suci, kekuatan batin atau kerohanian, iman kepada Allah S.W.T. dikatakan paling penting. Ia merupakan asas bagi ilmu tersebut. Andainya iman itu tidak wujud, ilmu yang diamalkan tidak akan menjadi, atau tidak memberi kesan yang kuat.

Untuk mendapatkan keberkesanan yang maksimum, juga untuk menggabungkan latihan fizikal dan spiritual, ilmu Budi Suci mempunyai kaedah-kaedah tertentu yang perlu dipatuhi. Untuk mempelajari ilmu tersebut, seseorang murid itu perlu menyediakan bahan-bahan tertentu, di antaranya ialah:

Seekor ayam jantan yang telah tumbuh taji.
Tujuh jenis kuih Melayu.
Tiga meter kain putih.
Daun kelur.
Sepiring pulut kuning.

Ayam jantan disembelih. Dagingnya dimasak, manakala isinya, iaitu mempedal, hati, jantung dan lain-lainnya dijadikan sate. Kesemua bahan tersebut diletakkan di hadapan guru dalam satu majlis yang telah ditetapkan masanya. Setelah itu guru berkenaan akan memberi ijazah kepada murid berkenaan setelah membaca ayat-ayat tertentu. Dengan itu, maka rasmilah ilmu Budi Suci itu diturunkan. Hidangan yang ada dimakan bersama. Sate dimakan oleh murid yang menuntut. Penerimaan ijazah dilakukan di mana seseorang murid itu duduk di atas kain putih yang dibawa, sambil menghadap guru dalam keadaan berwuduk. Dan bersalaman dengan guru berkenaan. Sesetengah guru menurunkan ilmu tersebut dengan melakukan bai'ah (janji taat setia), manakala sesetengahnya tidak melakukan bai'ah.

Sate yang terdiri daripada bahan yang dijelaskan dicucuk dengan buluh tajam yang dipanggang tanpa garam ataupun rempah. Murid mesti memakan sate ini sehingga habis, yang bertujuan untuk menguatkan semangat dan keberanian, tangkas seperti ayam jantan. Kain putih melambangkan keikhlasan dan bersih hati. Patuh serta taat setia. Kain putih juga mengingatkan mati, menjadikan seseorang itu insafkan hakikat diri. Daun kelur juga mempunyai hubungan secara langsung dengan semangat yang dimiliki oleh murid berkenaan. Pemberian ijazah lazimnya dilakukan selepas melakukan sembahyang maghrib, iaitu pada malam Jumaat atau Isnin. Ketika sebelum menurunkan ijazah, guru akan membaca ungkapan-ungkapan di bawah ini yang akan diikuti oleh murid berkenaan. Hal sedemikian dilakukan dalam keadaan bersalaman seperti yang dijelaskan.

Membaca Bismillah hingga akhir.
Asyhadu alla ilaha ilallah. La haulawala quwwata illa billahi laliyil-'aziim.
Aku mohon keramatnya Syeikh Subandari, Sheikh Maddi, Sheikh Huri, Ya Hanafi, Ya Shafie, Ya Maliki, Ya Hanbali, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah.
Aku mohon kepada Allah berkat keramatnya, supaya Allah melindungi diri daripada pukulan (atau tujuan-tujuan lain). Ya Allah selamatkan diriku. Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah. Ya Hayyu, Ya Qayyumu, La Yamut.

Dengan ini maka tamatlah pengurniaan ijazah. Murid berkenaan dibenarkan mengamalkannya, serta mengadakan latihan di padang, atau di tempat-tempat tertentu yang disediakan selepas majlis tersebut.

Seseorang murid yang ingin mengadakan latihan hendaklah membaca ungkapan-ungkapan yang dijelaskan di atas, dari mula sehingga tamat. Ketika membaca perkataan Ya Hayyu, seseorang murid hendaklah meletakkan jari telunjuknya pada bahagian atas dada sebelah kanan sambil menarik ke bawah, iaitu ke bahagian pusat. Kemudian membaca Ya Qayyumu lalu membuat bulatan di atas pusat, kemudian membaca La Yamutu dengan meletakkan jari telunjuk tadi di atas dada sebelah kiri, dan menariknya ke bahagian bawah, iaitu di atas pusat. Kemudian tarik nafas seberapa dalam yang boleh dan telan nafas.

Terdapat perbezaan kecil mengenai kaedah-kaedah dan ungkapan-ungkapan bacaan yang diajarkan dalam upacara menurunkan ijazah, yang dilakukan oleh guru-guru tertentu. Walaupun demikian, asasnya adalah sama.

Seperti yang dijelaskan, bacaan-bacaan dan kaedah yang disebutkan di atas perlu diamalkan semuanya, tetapi dalam keadaan terdesak di mana seseorang itu tidak sempat hendak membaca kesemua bacaan tadi, memadai baginya membaca ungkapan "Ya Hayyu, Ya Qayyumu, La Yamutu" dengan kaedah yang dijelaskan.

Dalam amalan ilmu Budi Suci, terdapat jurus-jurus tertentu yang perlu dipelajari dan difahami oleh seseorang murid. Jurus bererti gerakan jasmani yang disertakan dengan zikir, yang boleh dilakukan untuk mengatasi musuh, biarpun musuh berada di tempat yang jauh. Ia dikenali sebagai "pukulan jarak jauh".

Dalam Sejarah Melayu diceritakan tentang kisah Cau Pandan anak Bubunya yang telah diperintahkan menyerang Melaka. Ada seorang hamba Allah bernama Sidi Arab dari keturunan Arab, yang selalu berlatih memanah panah lasykar seperti hal keadaan orang berzikir. Ia akan membawa bersamanya panah tersebut ke mana ia pergi.

Ketika perintah menyerang Melaka itu dikeluarkan, Sidi Arab ketika itu berada di hadapan Sultan Muzaffar Syah. Apabila ia mendengar tentang kisah tersebut, maka iapun berdiri di hadapan sultan sambil menghalakan panahnya ke benua Siam. Ketika menarik panahnya ia berkata, "Mati engkau Cau Pandan."

Melihatkan demikian Sultan Muzaffar Syah tersenyum lalu ia berkata kepadanya:"Jika sungguh mati Cau Pandan sungguhlah tuan keramat."

Cau Pandan yang ketika itu masih berada di benua Siam merasa dadanya seperti terkena panah. Ia merasa amat sakit dan muntahkan darah lalu mati.

Dalam Hikayat Raja-raja Pasai juga disebutkan tentang kegagahan Tun Berahim Bapa, yang dikatakan semasa Tun Berahim mengejar Tun Fatimah Lempan, bahunya telah tersinggul pintu istana Sultan Pasai yang mempunyai sembilan belas ruang dan tiangnya setiap satu berukuran sepemeluk orang dewasa. Istana itu telah bergoncang bagaikan terkena gempa bumi kerana kegagahan Tun Berahim Bapa.

Dua contoh ini , juga banyak contoh lain menunjukkan ilmu-ilmu batin itu sebenarnya telahpun diamalkan oleh orang Melayu sejak dahulu kala lagi, termasuk ilmu yang menyerupai "ilmu pukulan jauh" seperti yang dijelaskan.

Terdapat sebanyak 13 jurus atau langkah dalam amalan ilmu Budi Suci, iaitu jurus tumbuk, jurus siku ke belakang, jurus tolak dan tekan, jurus tolak, lambung musuh, jurus tarik buang dan jurus untuk membuang senjata dari tangan musuh. Jurus-jurus ini adalah jurus biasa , manakala jurus berikut dinamakan jurus bahaya atau jurus maut. Jurus-jurus tersebut dinamakan jurus tusuk jantung, jurus kerat leher, jurus potong perut, jurus senjata memakan diri dan jurus garis keselamatan diri.

Setiap jurus yang dilakukan hendaklah dalam keadaan berdiri dengan memasang kekuda dan dalam keadaan siap sedia. Setiap pergerakan hendaklah disertai dengan hembusan nafas sambil mengingati zikir tertentu. Selain daripada jurus-jurus yang dijelaskan, terdapat satu jenis jurus yang dinamakan dengan jurus pengunci. Jurus dilakukan dengan bacaan tertentu dengan mengisyaratkan kedua belah tapak tangan kepada musuh, seumpama kelakuan menikam sesuatu yang dilakukan serentak dengan hentakan tumit kanan ke tanah, yang disertai dengan menahan nafas. Dengan berbuat demikian musuh akan terkaku, tidak boleh bergerak, sama ada ke hadapan, kanan atau kiri, yang diistilahkan sebagai "terkunci".

Ketika melakukan latihan, seorang murid itu boleh sama ada berdiri tegak ataupun dalam keadaan memasang kuda-kuda ketika ia diserang oleh "musuh". Untuk mengelakkan diri daripada menerima serangan "musuh" tadi, ia hendaklah mengumpulkan tenaga dan melepaskannya melalui hembusan nafas, yang disalurkan melalui hidung. Hembusan itu hendaklah dilepaskan sebelum serangan, sama ada tumbukan, sepakan atau pukulan yang menggunakan senjata tiba. Musuh akan jatuh atau terpelanting seolah-olah adanya satu kuasa yang menolaknya, sama ada jatuh ke belakang, kanan atau kiri, atau jatuh melambung dan jatuh ke bumi, bergantung kepada hembusan yang dilakukan. Semakin kuat tenaga terkumpul dan berupaya menyalurkannya keluar, maka semakin kuatlah "kuasa" yang keluar, lalu mengenai orang yang menyerang tadi. Kerana itu hembusan hendaklah dilakukan pada setiap kali serangan. Tanpa hembusan seseorang itu mungkin terkena serangan yang mendatang. Hal yang dijelaskan ini tidak semestinya berlaku pada serangan yang dilakukan dari bahagian hadapan, kanan atau kiri yang dapat dilihat oleh mata zahir, tetapi juga daripada serangan yang dilakukan daripada belakang, oleh seorang penyerang atau lebih.

Untuk mepelajari ilmu Budi Suci ini, seseorang itu hendaklah berupaya melakukan sesuatu yang disuruh oleh agama Islam, dan jangan meninggalkan sesuatu yang disuruh, terutamanya sembahyang lima waktu, puasa dan sebagainya. Selain daripada syarat-syarat asas ini, syarat-syarat lain ialah jangan menzalimi orang lain. Ilmu yang dipelajari bukan untuk menunjuk-nunjuk, takbur atau dilakukan untuk sesuatu yang salah. Jangan bongkak, jangan mudah marah dan dapat mengawal diri.

Selain daripada tujuan mempertahankan diri, ilmu Budi Suci juga dikatakan boleh digunakan sebagai salah satu cara pengubatan, termasuk juga merawat sakit akibat gangguan makhluk-makhluk halus.



Analisis Hukum

Amalan ilmu Budi Suci mempunyai persamaan dengan perlakuan Buddha, malah nama asalnya "Buda Suci" itu adalah diambil daripada sempena nama Buddha, kemudian ditukar kepada nama yang lebih dapat diterima oleh orang Melayu, lalu menjadi "Budi Suci". Ada pendapat menyatakan bahawa amalan bertapa sebelum memperolehi ilmu Budi Suci itu dilakukan tidak ubah seperti teknik yoga. Dalam yoga bertujuan mistik, seseorang itu perlu menjauhkan diri daripada bersifat materialistik , dan melepaskan diri daripada cintakan dunia. Di antara syarat-syarat lain ialah berdisiplin, melibatkan cara bernafas, konsentrasi (darana), meditasi (dhyara) dan mengelakkan diri daripada melakukan larangan-larangan tertentu. Ilmu batin ini menjadi lebih bercorak Islam dengan adanya penampilan unsur-unsur Islam yang dianggap sebagai syarat untuk mempelajari ilmu ini, seperti sentiasa mengingati Allah, melakukan ibadah yang disuruh dan berupaya mengelakkan diri daripada bersifat takbur, tidak menggunakan ilmu tersebut untuk kezaliman dan sebagainya.

Ilmu ini sebenarnya bukan merupakan amalan atau sunnah Rasulullah S.A.W., sunnah Khulafaur-Rasyidin, para tabi'in atau ulama salaf.
Syarat-syarat untuk mematuhi ajaran Islam dan menjauhi segala larangan yang dijelaskan sebenarnya tidak perlu dimasukkan dalam syarat mempelajari ilmu seperti ini. Ia sebenarnya merupakan sesuatu yang wajib bagi setiap orang Islam bukan hanya setelah hendak belajar ilmu ini. Orang yang tidak pernah melakukan sembahyang, lalu bersembahyang kerana mempelajari ilmu tersebut, bererti ia sembahyang bukan kerana Allah tetapi kerana mempelajari ilmu tersebut. Syarat seperti ini hanya merupakan salah satu daripada pengaruh Islam yang terterap dalam kaedah mempelajari ilmu kebatinan. Terbukti juga bahawa orang yang mempelajari ilmu tersebut, tetapi tidak patuh kepada syarat-syarat yang dikenakan seperti tidak sembahyang, tetapi ia masih tetap memperolehi sesuatu yang diperolehi oleh orang lain yang patuh kepada syarat yang dikenakan.

Seperti yang dijelaskan, tujuan utama ilmu ini ialah untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh, iaitu dengan syarat bahawa musuh berkenaan dalam keadaan marah. Kemungkinan besar ilmu itu memberi kesan seperti yang dijelaskan ketika berada di hadapan guru, atau ketika melakukan pertunjukan semata-mata, tetapi tidak boleh digunakan ketika seseorang itu benar-benar terdesak, atau ketika berhadapan dengan musuh.

Tidak tersebut dengan jelas tentang penglibatan jin-jin dalam amalan ilmu tersebut. Sama ada dalam bentuk seruan, iaitu ketika hendak memulakan gelanggang ataupun ketika beramal. Manakala orang yang berbuat demikian berada dalam keadaan sedar sepenuhnya, tidak seperti orang yang sedang menurun.

Persoalan yang ketara, bagaimana seseorang yang berdiri dalam keadaan berpeluk tubuh, melepaskan kedua belah tangannya ke bawah, atau berkuda-kuda sambil melakukan jurus dan menghembuskan nafas kepada penyerang yang datang, menyebabkan musuh berkenaan jatuh, terpelanting ke kanan atau kiri, ataupun seumpama tertolak ke belakang, seolah-olah adanya satu kekuatan terjadinya demikian. Pukulan-pukulan yang dilakukan oleh musuh tidak mengenai tubuh. Hanya suara ataupun himbasan angin sahaja yang dapat dirasai melalui pendengaran telinga. Satu konsekuen yang sukar hendak ditafsirkan logiknya melalui akal manusia.

Perkara ganjil, yang tidak dapat difikir sebab musabab oleh akal manusia, boleh terjadi dengan salah satu daripada dua perkara. Pertamanya, ia dianggap ganjil oleh orang tertentu kerana kejahilannya. Orang berkenaan tidak mengetahui rahsia bagaimana hal demikian boleh terjadi, padahal ia bukan merupakan satu rahsia bagi orang yang arif mengenainya. Terjadi demikian mungkin kerana kemahiran atau keupayaan yang dilakukan oleh seseorang melalui latihan-latihan yang dilakukan. Keduanya, ialah dengan adanya penglibatan makhluk-makhluk halus. Apabila hal demikian terjadi, ia akan melahirkan natijah yang tidak dapat ditafsirkan oleh akal tentang logiknya, mengkhayalkan, seperti permainan silap mata, yang boleh menjadikan manusia bertukar menyerupai keldai dan sebagainya. Demikianlah yang telah terjadi kepada Nabi Musa yang melihat tali dan tongkat ahli sihir merayap berjalan seperti ular (Surah Taha:66).

Penglibatan jin-jin juga menyebabkan natijah yang tidak dapat diterima akal bagaimana ia boleh berlaku, seperti rasa rindu seseorang kepada seseorang tanpa sebab, rasa marah yang terjadi dengan tidak semena-mena, atau rasa sayu yang datang mendadak, tidak minat kerja, benci kepada anak isteri dan sebagainya. Hal demikian,menurut pertimbangan akal normal memang tidak logik boleh berlaku, tetapi ia terjadi kerana sebab-sebab yang tidak dapat ditafsirkan kerana adanya penglibatan makhluk-makhluk halus tadi.

Seperti yang dijelaskan, ilmu ini tidak memperlihatkan adanya seruan-seruan pada jin-jin. Tetapi berdasarkan kepada penerangan yang terakhir ini, natijah daripada amalan ilmu ini ada memperlihat kemungkinan adanya penglibatan makhluk-makhluk halus, yang boleh menyebabkan penyelewengan iktikad. Apatah lagi dengan adanya sajian yang perlu disediakan, termasuk kuih-muih yang perlu disediakan ketika seseorang itu hendak mempelajari ilmu tersebut.

Pada kebiasaannya, amalan-amalan atau adat-istiadat yang melibatkan makhluk-makhluk halus disertai dengan sajian termasuk pulut kuning, kuih-muih dan lain-lain lagi, seperti upacara menyemah pantai, membuang ancak, menyemah pentas dan sebagainya. Kerana itu adalah lebih baik seseorang itu mengelakkan diri daripada amalan ini atas sebab-sebab yang dijelaskan tadi. Sekian, semoga penerangan ini memberi manfaat. Wallahualam.

-- DR. AMRAN KASIMIN, UKM

Sunday, February 15, 2015

Facebook Aku Dan Seni Beladiri

Facebook untuk Aku Dan Seni Beladiri baru sahaja didaftarkan... masih panas dari kuali... sahabat-sahabat dijemput menjadi antara orang yang terawal like FB ADSB... hadiahnya adalah post-post dari blog ini akan sentiasa terus mengalir ke FB anda tanpa perlu lawat blog terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada post baru ada atau tak... terima kasih

Klik --> Facebook ADSB untuk ke FB ADSB


Wednesday, February 4, 2015

Kenangan Persilatan

Dah tua-tua ni ada jugak kenangan untuk ditunjuk kepada anak cucu cicit... ;-)






Wednesday, January 28, 2015

Mencari Seni Beladiri Terbaik

Persoalan aliran seni beladiri manakah yang terbaik sememangnya tidak akan tidak pasti akan bermain di fikiran pengamal-pengamal beladiri. Pada permulaan kita mempelajari ilmu beladiri, kita akan diajar asas-asas pergerakan, seterusnya buah atau pukul, lapis atau potong sehinggalah ke tahap yang lebih tinggi seperti bermain senjata dan tidak ketinggalan juga kita akan mengkaji cara menghadapi serangan dari gaya atau aliran beladiri yang lain.

Seperti kita sedia maklum, terdapat pelbagai aliran seni beladiri di dunia ini. Silat dan kung fu sahaja dah mencecah ribuan aliran, ditambah pula dengan lain-lain seni beladiri yang telah diasaskan sejak ribuan tahun atau aliran-aliran moden, semuanya mencecah ribuan atau mungkin juga puluhan ribu aliran, sama ada yang kita kenali ataupun tidak.

Sesetengah ahli beladiri belajar secara kebetulan atas sebab mengikut kawan atau kebetulan gelanggang berada berdekatan dengan rumah. Sebahagian yang lain benar-benar mengkaji aliran yang sesuai dan dirasakan yang terbaik untuk diri masing-masing. Dalam mempelajari dan mengkaji inilah kadang-kadang kita telah menyentuh sensitiviti pengamal seni beladiri yang lain.



Yakin dan Taksub

Dalam mempelajari ilmu beladiri, kita perlu yakin dengan aliran yang kita pelajari, kerana secara logiknya kita takkan belajar aliran yang kita kurang yakin. Cuma dalam belajar inilah, ada jurulatih yang secara sedar atau tidak, telah menanam rasa takjub dan taksub kepada perguruan sendiri. Bila penuntut ini pula yang naik ke peringkat jurulatih, rasa taksub ini akan diturunkan pula kepada generasi seterusnya dalam perguruan tersebut. Penyakit ini selalunya hinggap kepada ahli-ahli yang agak baru mengenali dunia beladiri, tapi amat menyedihkan bila penyakit ini juga terdapat pada pengamal yang dikategorikan sebagai otai atau orang lama. Hanya penuntut yang berfikiran terbuka sahaja yang mungkin tidak termasuk ke dalam perangkap taksub ini.

Apa bezanya yakin dan taksub? Yakin adalah anda akan belajar bersungguh-sungguh aliran yang anda pilih sehingga mahir. Yakin bahawa apa yang dipelajari boleh digunakan bila keadaan memerlukan, tapi pada masa yang sama menghormati aliran beladiri yang lain. Taksub pula adalah yakin yang membuta-tuli, terlalu yakin bahawa hanya aliran beladirinyalah yang terbaik, paling ampuh dan tidak terkalah oleh aliran lain, selain suka mempersenda dan memperlekeh perguruan lain. Menambahkan lagi rasa taksub ini bila jurulatih selalu bercerita bagaimana pengamal dari perguruan mereka berjaya mengalahkan pengamal dari aliran beladiri lain (sedangkan sejarah pengamal beladiri mereka kalah kepada aliran lain tak pula diceritakan). Cuba anda bayangkan jika cerita-cerita begini sampai ke pengetahuan pengamal beladiri yang kita perlekehkan itu (ini biasa berlaku), hati siapa yang tak panas bila aliran beladiri yang dipelajari jadi bahan persenda orang lain. Betulkah aliran anda tak mungkin kalah dalam pertempuran? Fikirkan semula.

Kalah atau menang dalam pertarungan bergantung kepada banyak faktor. Faktor persekitaran, kemahiran, pengalaman pengamal dan banyak lagi. Ada perlawanan yang aliran A mengalahkan aliran B, ada juga yang berakhir dengan aliran A kalah kepada aliran B. Tak perlu saya memberikan contoh, kerana untuk pengamal yang telah lama terlibat pasti biasa mengalami atau mendengar kisah-kisah sebegini. Mungkin sesuatu aliran itu secara zahirnya kelihatan lebih rendah mutunya berbanding yang lain, tetapi dalam perlawanan, ianya adalah soal praktikal yang berbeza sama sekali dengan sesi latihan atau demonstrasi.



Luar Jangkaan

Berkongsi sedikit pengalaman saya sendiri sebagai jurulatih satu aliran beladiri, ada kes di mana sesetengah penuntut saya yang sewaktu sesi latihan memang boleh dikatakan agak lembab dan tidak setangkas penuntut yang lain. Pada satu ketika sewaktu saya menunjukkan pelajaran baru kepada penuntut (yang lembab) tersebut, saya cuba membuatnya secara spontan sebagai kejutan (pendekatan yang biasa saya lakukan untuk menambah keyakinan penuntut), tetapi yang terkejutnya adalah saya sendiri bila penuntut tersebut memberi tindak balas yang tak disangka-sangka hingga saya yang hampir terjatuh. Saya mengalami insiden yang hampir sama tiga kali sepanjang saya menjadi jurulatih. Insiden tersebut saya masih ingat sehingga ke hari ni dan ianya menyedarkan saya bahawa apa yang akan berlaku sewaktu keadaan yang betul-betul memerlukan itu mungkin diluar jangkaan. Orang yang pada zahirnya tidak tangkas dan geraknya perlahan, berkat ikhlasnya belajar beladiri mungkin dapat menewaskan penyerangnya bila keadaan benar-benar memerlukan, manakala yang geraknya pantas dan tangkas itu mungkin boleh kecundang dengan hanya satu tumbukan cowboy, siapa tahu?

Kalau dulu untuk menyaksikan pertembungan antara aliran beladiri anda harus menunggu sehingga ada salah satu pihak mencabar pihak yang lain dan ianya jarang-jarang berlaku, tetapi pada zaman dunia tanpa sempadan hari ini, kita lebih terdedah dan mudah untuk melihat atau mengkaji pelbagai aliran seni beladiri yang berbeza. Taip sahaja kata kunci dalam laman YouTube, semua akan anda dapat saksikan. Dalam laman ini juga terdapat banyak contoh perlawanan satu dengan satu antara aliran beladiri yang berbeza, seperti tae kwon do lawan muay thai, karate lawan capoiera, aikido lawan jujitsu dan pelbagai lagi. Dalam kebanyakan klip video yang anda saksikan anda akan dapati bahawa kemenangan tidak didominasi oleh aliran tertentu sahaja, mungkin aliran apa yang dibawa ada pengaruhnya, tetapi faktor kemenangan lebih banyak bergantung kepada individu itu sendiri.



Balik kepada tujuan asal

Isu ini mungkin isu lama, tapi wabak ini masih dibawa oleh generasi pengamal beladiri hari ini. Kepada yang masih berfikiran begini, muhasabah diri anda semula, jika anda tak suka perguruan anda dikutuk dan diperlekeh, begitu juga dengan perguruan lain. Fikirkan kembali tujuan kita mempelajari ilmu beladiri. Sebagaimana namanya “seni mempertahankan diri” atau “seni beladiri”, tujuan asal kita belajar adalah untuk mempertahankan diri kita dari orang-orang yang menceroboh maruah dan keselamatan diri kita, dan dengan sedikit kelebihan dan kemahiran yang ada pada diri, kita panjangkan pula dengan menolong orang-orang yang memerlukan.

Hidup manusia bukan menongkat langit. Kita belajar silat, karate, tae kwon do atau apa jua aliranpun bukanlah supaya kita tak mati diserang, kerana terdapat seribu satu cara manusia boleh membunuh, tapi tujuannya adalah sebagai salah satu ikhtiar untuk kita menjaga diri setakat daya dan upaya yang diberikan oleh Tuhan kepada kita. Sekuat dan semahir manapun kita atau perguruan kita, takdir tiada siapa yang tahu, mungkin kita akan mati hanya disebabkan oleh seekor nyamuk yang membawa virus denggi?... atau mungkin terlibat dalam kemalangan jalanraya? Jadi perlukah kita menyinggung perasaan saudara kita dari perguruan yang berbeza dengan merendah-rendahkan aliran mereka semata-mata untuk menyatakan bahawa perguruan kitalah yang terbaik?

Hayati pantang larang silat, renungkan rukun tae kwon do dan kajilah konsep harmoni dalam aikido. Tentu anda setuju kalau dikatakan bahawa semua aliran seni beladiri menerapkan nilai-nilai murni dalam perguruan mereka. Pengamal beladiri yang baik adalah yang bersungguh-sungguh memahirkan diri dan menambahkan ilmu dalam beladiri, menghormati manusia dan pengamal aliran beladiri yang lain, membantu orang yang memerlukan dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang lebih aman dan dunia yang lebih harmoni. Kita semua harus bercita-cita menjadi pengamal beladiri yang sebegini dan hentikan menyinggung perasaan pengamal seni beladiri yang tak sealiran dengan kita.

Adegan Gaduh Perlu Ada Seni

Pelakon-pelakon yang terkenal dengan filem tempur tanpa senjata seperti Chuck Norris, Jean Claude Van Damme, Bruce Lee atau Steven Seagal sering meyakinkan penonton dengan teknik seni mempertahankan diri yang mereka miliki. Gerak mereka semasa bertarung dengan musuh bukan sahaja gagah malah ada seni tersendiri.

Bruce Lee misalnya yang cukup diingati dengan filem The Big Boss mempunyai elemen seni kungfu sementara Chuck Norris pula dengan karate. Gerak mereka tampak yakin dan tidak dibuat-buat. Apa rahsianya di sebalik aksi dalam filem-filem pertarungan?

''Pakar seni mempertahankan diri belum tentu akan tampil dengan gerak yang berseni dalam filem. Pergaduhan dalam filem memerlukan koreografi seumpama tarian yang geraknya ada seni dan falsafah budaya,'' demikian kata koreografer silat dalam filem, Ku Ahmad Ku Mustafa.

Ku Ahmad yang juga pengasas Persilatan Tokku mengakui, tugasnya sebagai koreografer sekali gus fighting director filem dan drama tempatan memerlukan dia mencipta sesuatu adegan pertarungan supaya kelihatan realistik dari segi gerak, pukulan dan juga ekspresi pelakon-pelakon.


Pertarungan antara nilai komersial bagi sesebuah filem. Buktinya filem-filem lakonan Bruce Lee, Van Damme atau Chuck Norris bukannya yang mempersembahkan naratif yang baik selain dari tema balas dendam dan konsep hero yang stereotaip. Tetapi filem-filem lakonan mereka mendapat tempat di pasaran.

''Pertarungan yang dikoreograf dengan baik akan membawa cerita di sebalik gerak dan ekspresinya. Fighting director yang baik tidak sahaja harus mampu mencipta pergaduhan yang realistik malah ada falsafah budaya dalam gerak silatnya,'' tegas Ku Ahmad yang telah membuka beberapa gelanggang silat di Kedah ketika usia 18 tahun.

Sehingga kini Ku Ahmad yang diberi kepercayaan oleh Rahim Razali untuk membuat koreograf silat filem Matinya Seorang Patriot telah mempelajari silat dengan 19 guru dan mengendalikan berpuluh gelanggang di seluruh Kedah sebelum bertugas sebagai koreografer silat dan pemuzik di Kompleks Budaya Negara (KBN) sejak pertengahan tahun 70-an.

Katanya, dia mengakui Bruce Lee atau Chuck Norris mempunyai tahap seni mempertahankan diri yang tinggi tetapi pada masa yang sama mereka berdua juga bertindak sebagai koreografer dalam filem berkenaan. Ini membolehkan mereka melatih pasangan yang akan bertarung dalam filem -filem berkenaan.

Antara filem-filem lain yang mendapatkan khidmat Ku Ahmad sebagai koreografer silat ialah Puteri (Rahim Razali), Tuah (Anwardi Jamil) dan Kelisa (Ahmad Ibrahim). Dia banyak menumpukan kepada drama swasta terutama yang bercorak purba antaranya Luk Tujuh, Pendekar Kundur, Paduka Raja dan banyak lagi.

Menerusi drama purba bersiri Luk Tujuh arahan U-Wei Haji Saari, Ku Ahmad telah mencipta adegan pertarungan yang terbaik dalam sejarah filem dan drama Melayu. Drama lakonan Eman Manan dan Mahmud June itu memperlihatkan falsafah silat Melayu melalui gerak panca indera dan firasat yang digunakan oleh pendekar zaman dahulu.


''Saya diberi masa yang agak selesa oleh U-Wei untuk menghasilkan semua adegan yang melibatkan pergaduhan. Untuk mendapatkan aksi yang baik, ia tidak boleh dibuat secara spontan kerana bergaduh juga sebahagian daripada lakonan,'' jelas Ku Ahmad.

Banyak yang mengagumi adegan akhir filem Matinya Seorang Patriot yang mempertemukan dua beradik, Safuan (Zulkifli Zain) dan Saiful (Eman Manan) berlawan pedang dalam ruang rumah yang kecil. Adegan ini memang mengerikan kerana kedua-dua pelakon ini membelasah bersungguh-sungguh.

''Banyak risikonya adegan bermain senjata tajam seperti itu, kalau tersilap langkah tentu nahas. Tetapi mereka berlatih bersungguh-sungguh, kalau spontan saya tak berani buat,'' jelasnya mengenai filem terbitan tahun 1984 itu.

Kata Ku Ahmad, sebagai koreografer silat, dia menghadapi masalah apabila pelakon yang banyak terlibat dalam adegan pergaduhan tidak melalui latihan asas dalam silat. Ini membuatkan dia menghasilkan koreograf berdasarkan kemampuan pelakon bukan kemahuannya sendiri.

''Kalau dalam cerita purba, silat membawa manifestasi budaya. Cara pegang keris, cara menunggu serangan musuh dan menyerang ada adabnya,'' katanya mengenai fungsi silat dalam cerita purba.

Dia memberitahu, drama moden yang menampilkan street fighting seperti dalam filem-filem lakonan Chuck Norris berbeza koreografnya dengan drama purba. Street fighting selalunya tidak memerlukan tari seperti drama purba.

Ditanya tentang banyak drama yang kononnya purba Melayu tetapi menampilkan gerak jimnastik di TV, Ku Ahmad berkata, '' Nampak huduh sangatlah kalau menendang ligat macam kipas. Saya belum pernah jumpa silat seperti itu. Kungfu bukan, silat pun bukan.''

Sumber: Utusan Online (17 Julai 1997)

Monday, January 26, 2015

Silat Seni Gayong dan Gayong Pusaka dalam Majalah Seni Beladiri

Berikut adalah beberapa edisi majalah Seni Beladiri yang menjadikan Silat Seni Gayong dan Pusaka Gayong sebagai cover.

Friday, January 23, 2015

Nak Pukul Orang? Inilah Petua-petuanya



{ 1 }

Sebelum ini aku ada menyatakan bahawa di antara hobiku semenjak zaman kanak-kanak “ribena” dahulu adalah Alam Persilatan & Seni Mempertahankan Diri. Minat tu memang masih ada dan semakin menyala-nyala hingga ke saat ini.

Yang aku tak minat @ benci ialah apabila bertemu dengan manusia yang takbur @ “poyo-poyo” @ “yok-yok on” @ “macam best aje” @ syok sendiri. Tak kiralah siapa, lebih-lebih lagi jika orang yang bersifat itu adalah orang yang ada ilmu persilatan @ seni tempur jarak dekat (bukan menggunakan senjata api).

Di dalam berperang, termasuklah bertempur ataupun bergaduh, ada 2 sahaja keadaan yang berlaku, iaitu samada menyerang ataupun diserang. Keadaan ketiga iaitu tidak menyerang orang dan tidak pula diserang adalah ketika keadaan aman-damai tanpa sebarang konflik.

{ 2 }

Ada seorang guru Seni Mempertahankan Diri yang aku berkawan dengannya. Dia tidak suka “SENI”nya itu dipanggil “SILAT”. Baginya “SILAT” (Silat Melayu) tidak layak dibangsakan kepada seninya itu kerana “ Silat Melayu kerjanya menari dan berlenggang-lenggok sedangkan yang saya ajar ini adalah memukul dan belasah. Sebab itulah namanya SENI TEMPUR “, katanya.

Jika sekadar itulah hujahnya, aku tidak hairan. Bagiku hujahnya itu dangkal. Dia lupa asal-usul tok-nenek moyang kita mempertahankan Agama, Bangsa dan Tanah Air itu dengan berpunca dari “SILAT MELAYU“ yang dikatakan kerjanya “asyik menari” dan “berlenggang-lenggok” itulah. Namun sikapnya yang sangat ku kesali adalah TAKBUR dan BESAR DIRI @ SYOK SENDIRI @ “MACAM BAGUS AJE “.

Jika ada orang yang menziarahi gelanggangnya itu dari Aliran Silat Gayong (sebagai sebuah contoh), maka dia akan “menepuk dada” dan berkata kepada si penziarah itu; “Silat kamu tak ada teknik macam ini, kan?. Setakat silat macam kau tu, senang-senang aje aku ‘makan’ “.

Andainya datang pula pengamal Silat Pulut @ Silat Tari @ Silat Pengantin, maka si kawanku ini akan mengatakan: “Alahai, setakat Silat Tari tu. Menari sana-sini, lari sana-sini. Senang-senang aje aku ‘sebat’ “. Bukan setakat mulutnya sahaja yang “kepoh” (heboh), malahan dia mengajuk pula aksi-aksi dan gaya-gaya silat yang dirasakannya tidak menarik dan tidak bagus itu.

Sekiranya yang datang itu pula adalah pesilat-pesilat dari Aliran Silat Kalimah atau Silat Cekak, maka dia pun akan “mencece” dan merendah-rendahkan silat itu dengan katanya: “ Eleh, setakat silat macam kau tu, tangkap sana, tangkap sini. Mengadap aku, tak tertangkap kau pukulan-pukulan aku ini“. Satu hari, muridnya datang menemuinya dengan membawa seorang rakannya untuk menziarahi gelanggangnya. Sebaik sahaja diketahui bahawa rakan muridnya itu adalah pesilat Sendeng, langsung mulutnya berkata: “ Kau kata kau belajar Silat Sendeng, tapi dengan aku pun kau tak dapat ‘berdiri’. Apa yang kau belajar?, Kalau setakat ‘Pukulan 7 Hari’ tu, alah, hanya indah khabar dari rupa. Jangan-jangan tok guru kau yang mengajar Silat Sendeng itu pun tak reti apakah yang dikatakan ‘Pukulan 7 Hari’ itu sebenarnya, ataupun dia sembunyikan ilmu itu dari pengetahuan kau ”.

Apabila dia (jurulatih yang suka mengomel dan mencece ini) menceritakan pengalamannya diziarahi oleh pengamal Silat Sendeng itu dan tak tahan ‘berdiri’ dengannya, aku pun berkata kepadanya: “Agaknya pesilat Sendeng itu baru belajar kot?. Takkanlah dia itu orang yang benar-benar faham Silat Sendeng atau Pengamal ‘Pukulan 7 Hari’?. Kalau dia hanyalah murid yang baru belajar dan tak mampu ‘berdiri’ dengan abang (aku memanggil jurulatih yang berlagak sombong ini sebagai ‘ABANG), maka usahlah berbangga diri“. Dia pun membalas soalanku itu dengan mengatakan: “Eh, taklah. Budak Silat Sendeng itu memang dah belajar sampai ke tahap ‘Pukulan 7 Hari’. Aku pun bertanya dia lagi sambil ‘mengumpan‘ dengan kataku: “Beginilah ajelah bang. Saya ada beberapa kawan yang tekun belajar dan mengajar Silat Sendeng. Abang hendak ke tidak jika saya panggil dia ‘berdiri‘ mengadap abang?“. Dia pun terdiam dan tidak lagi memberikan sebarang responku itu.

Apabila ada seorang guru aliran Silat Harimau tidak “menyambut“ cabarannya dahulu (entah iya entah tidak dia benar-benar mencabar guru Silat Harimau itu), dia pun makin rasa “bangga diri“ dan berkata kepadaku: “Guru Silat Harimau pun tak berani ‘mengadap’ aku, apalah sangat ilmu dia tu. Nama aje ngajar silat sampai ke negara orang putih, tapi dengan aku pun dia tak berani nak berdiri“.

Begitulah sikapnya apabila ditanya pandangannya mengenai “permainan orang lain“. Semuanya baginya serba tak bagus dan semuanya serba lemah. Sikap itu kemudian didoktrinasikan kepada murid-muridnya dengan mengatakan: “Semua anak murid aku, kalau ‘berdiri‘ dengan orang lain, pasti takkan jatuh (kalah)“.

{ 3 }

Sepatutnya “abang“ itu berfikir begini sebelum bertindak “sembang kemas“ (walhal ‘tak kemas” mana pun) di khalayak orang ramai, khususnya yang bukan “sealiran“ dengannya. Apakah yang perlu dia pastikan sebelum dia boleh “ memukul canang dan mengangkat diri sendiri “ . Inilah jawapannya:

a – Apakah dia benar-benar yakin bahawa lawannya itu sudah pasti lebih lemah dan lebih buruk hingga dapat ditumpaskan?.

b - Mungkinkah juga orang itu tidak menyahut cabarannya kerana orang itu merasa“ malas melayan perangai kebudak-budakan“ jurulatih yang takbur itu.

c – Atau, mungkin juga orang-orang yang datang menziarahinya atau belajar darinya itu “menyembunyikan kuku“ agar dapat mengetahui dan merasai ilmu dan “permainan“ yang baru ditemuinya.

d – Katakanlah si jurulatih itu benar-benar dapat mengalahkan lawan yang dicabar pada hari itu, apakah dia juga dapat mempastikan bahawa esok-lusa-tulat ….. dan seterusnya akan menjamin kemenangan bagi pihaknya?.

e – Atau mungkinkah juga cabaran itu tidak disambut kerana khuatir ia akan berlarutan hingga menimbulkan “kes polis“ pula nanti .

Pendek kata: Jika cabaran seseorang itu tidak disambut oleh lawannya, belum tentu itu berarti lawannya itu penakut, pengecut, bacul dan seumpamanya.

Maka, berfikirlah dengan hati yang jernih dan akal yang waras sebelum anda mencabar atau menyahut cabaran seseorang untuk “bertumbuk“ (berkelahi). “Sesal dahulu, pendapatan. Sesal kemudian, tiada berguna“.

{ 4 }

Adakah anda diberikan amanah untuk mengendalikan sesebuah gelanggang silat / dojo / studio Seni Mempertahankan Diri?.

Jika ya, pasti ada beberapa orang yang datang untuk belajar daripada anda. Dan mereka itu kemudiannya akan dipanggil sebagai “murid-murid“ @ “pelajar-pelajar“ .

Ketika anda menunjukkan beberapa teknik dan kaedah, apakah ada diantara murid-murid anda yang “MEMBANGKANG @ MEMBANTAH CARA ANDA DENGAN CARA BIADAP / KURANG AJAR ???“.

Tidak ada !?. Apa memang benar tidak ada di kalangan mereka yang membantah dan bertindak biadap terhadap anda sebagai “guru @ cikgu“ di gelanggang itu?.

Sekali lagi, mari saya dan anda fikirkan bersama. Jika ya memang tiada murid-murid anda bersikap begitu adakah itu bermakna anda lebih hebat, lebih kuat, lebih sempurna dan lebih segala-galanya daripada murid-murid anda itu?.

Dua orang guru silat yang sangatku hormati dan bergaul denganku iaitu Pak Jauhari (Pak Jo); Guru Tua Silat Kalimah (Yahya Said) dan Abang Yahya Endau; Pakar Rujuk Seni Lian Buah Pukul di Endau, Mersing. Kedua-duanya pernah menyebut dan memberikan nasihat kepadaku yang sama isinya dan serupa moralnya, iaitu: “Apabila seseorang itu datang menuntut ilmu (Silat) dari kita itu bermakna dia telah sanggup menyerahkan tengkuknya kepada kita. Dia rela dikenakan syarat itu dan ini asalkan tujuannya untuk mendapatkan ilmu dari kita tertunai. Dia rendahkan dirinya dan dia sembunyikan kebolehannya agar kebolehan dan kemampuan kita sebagai gurunya terserlah dan dapat dia nikmati. Mungkin juga dia lebih banyak belajar berbanding kita tetapi demi mendapatkan ilmu kita, dia tidak menonjolkan ilmu dan kebolehannya. Bukanlah guru itu mesti tahu serba-serbi dan bukanlah murid itu juga pastinya jahil semua hal. Itulah hakikatnya seorang guru dengan seorang murid. Guru hanyalah ibarat pemandu ataupun posmen (penghantar surat). Jadi, apalah gunanya anda mendabik dada jika orang yang anda kalahkan itu adalah pelajar / murid anda sendiri !? “ .

Nasihat dari dua orang guru silat yang sangat kuhormati itu benar-benar tepat dengan peganganku selama ini. Dan nasihat seperti itu juga aku biasa sampaikan kepada rakan-taulanku yang aktif di dalam mengembangkan Silat Melayu ataupun apa-apa sahaja aliran Seni Mempertahankan Diri.

Jika ada di antara mereka yang cuba-cuba memujukku untuk bertemu (samada untuk ziarah ataupun belajar) dari mana-mana guru yang aku berkenan dan senang dengan sikapnya maka, aku akan berkata kepada rakanku itu: “If you do not first empty your cup, how can you taste my cup of tea?“ (Jika anda tidak mengosongkan terlebih dahulu cawan teh anda, bagaimanakah dapat anda merasakan nikmatnya teh bakal saya tuang ini?) .

Biasa juga aku menasihati diriku sendiri dan rakan-taulanku yang ingin belajar sesuatu silat yang baru ditemui dengan kataku: “Kita tanggalkan terlebih dahulu segala baju silat yang telah kita ada dan sangkut di luar gelanggang. Nanti nak balik, kita ambil semua baju-baju itu. Jika tidak begitu, sampai bila pun kita tidak akan dapat membezakan mana satukah baju dari orang itu dan baju orang ini“.

Itulah sedikit-sebanyak petua yang perlu anda pegang jika anda betul-betul mahu memukul dan “membelasah“ seseorang.

Jika aku pula, bagaimana?. Terus-terang aku katakan, aku bukanlah orang yang berani “semberono“. Tidak juga orang yang “taksub tak tentu punca“. Bukan juga seorang yang “penakut hangit“ atau “pengecut“ . Dan aku lebih suka mempertimbangkan sesuatu kehendak dan niat aku itu dengan timbangan Syariat dan Akal yang waras. Aku tidak mahu kalah….. kalah dengan nafsu ammarah yang dirajai oleh syaitan laknatulLoh sebelum aku mengalahkan lawanku itu.

Jika ada yang beranggapan bahawa sikapku itu akan menyebabkan aku dipandang rendah dan diperlekehkan oleh rakan dan lawanku, maka aku akan menjawab:

“Sepanjang hidupku, aku tak pernah terlintas untuk menjadi orang yang paling hebat, paling kuat, paling tinggi ilmu di dalam Ilmu Persilatan atau jadi big boss. Yang aku kejar ialah untuk menjadi paling hampir dengan redha ALLAH, Tuhanku Yang Paling Kuat Lagi Tiada Tandingan bagi-NYA. Aku bukan peduli apa orang nak kata terhadapku. Yang lebih aku peduli adalah apakah tindak-tandukku itu akan mengundang redha TUHANku itu atau sebaliknya (Na’udzu bilLahi min Dzalik) “.

Sekian. Wassalam

Cindai Pelangi ® Isnin – 14 / Muharram / 1432 H = 20 / Disember / 2010 M KUALA LUMPUR

Sumber asal: http://penacindaipelangi.blogspot.com/2010/12/nak-pukul-orang-inilah-petua-petuanya.html