Wednesday, January 28, 2015

Adegan Gaduh Perlu Ada Seni

Pelakon-pelakon yang terkenal dengan filem tempur tanpa senjata seperti Chuck Norris, Jean Claude Van Damme, Bruce Lee atau Steven Seagal sering meyakinkan penonton dengan teknik seni mempertahankan diri yang mereka miliki. Gerak mereka semasa bertarung dengan musuh bukan sahaja gagah malah ada seni tersendiri.

Bruce Lee misalnya yang cukup diingati dengan filem The Big Boss mempunyai elemen seni kungfu sementara Chuck Norris pula dengan karate. Gerak mereka tampak yakin dan tidak dibuat-buat. Apa rahsianya di sebalik aksi dalam filem-filem pertarungan?

''Pakar seni mempertahankan diri belum tentu akan tampil dengan gerak yang berseni dalam filem. Pergaduhan dalam filem memerlukan koreografi seumpama tarian yang geraknya ada seni dan falsafah budaya,'' demikian kata koreografer silat dalam filem, Ku Ahmad Ku Mustafa.

Ku Ahmad yang juga pengasas Persilatan Tokku mengakui, tugasnya sebagai koreografer sekali gus fighting director filem dan drama tempatan memerlukan dia mencipta sesuatu adegan pertarungan supaya kelihatan realistik dari segi gerak, pukulan dan juga ekspresi pelakon-pelakon.


Pertarungan antara nilai komersial bagi sesebuah filem. Buktinya filem-filem lakonan Bruce Lee, Van Damme atau Chuck Norris bukannya yang mempersembahkan naratif yang baik selain dari tema balas dendam dan konsep hero yang stereotaip. Tetapi filem-filem lakonan mereka mendapat tempat di pasaran.

''Pertarungan yang dikoreograf dengan baik akan membawa cerita di sebalik gerak dan ekspresinya. Fighting director yang baik tidak sahaja harus mampu mencipta pergaduhan yang realistik malah ada falsafah budaya dalam gerak silatnya,'' tegas Ku Ahmad yang telah membuka beberapa gelanggang silat di Kedah ketika usia 18 tahun.

Sehingga kini Ku Ahmad yang diberi kepercayaan oleh Rahim Razali untuk membuat koreograf silat filem Matinya Seorang Patriot telah mempelajari silat dengan 19 guru dan mengendalikan berpuluh gelanggang di seluruh Kedah sebelum bertugas sebagai koreografer silat dan pemuzik di Kompleks Budaya Negara (KBN) sejak pertengahan tahun 70-an.

Katanya, dia mengakui Bruce Lee atau Chuck Norris mempunyai tahap seni mempertahankan diri yang tinggi tetapi pada masa yang sama mereka berdua juga bertindak sebagai koreografer dalam filem berkenaan. Ini membolehkan mereka melatih pasangan yang akan bertarung dalam filem -filem berkenaan.

Antara filem-filem lain yang mendapatkan khidmat Ku Ahmad sebagai koreografer silat ialah Puteri (Rahim Razali), Tuah (Anwardi Jamil) dan Kelisa (Ahmad Ibrahim). Dia banyak menumpukan kepada drama swasta terutama yang bercorak purba antaranya Luk Tujuh, Pendekar Kundur, Paduka Raja dan banyak lagi.

Menerusi drama purba bersiri Luk Tujuh arahan U-Wei Haji Saari, Ku Ahmad telah mencipta adegan pertarungan yang terbaik dalam sejarah filem dan drama Melayu. Drama lakonan Eman Manan dan Mahmud June itu memperlihatkan falsafah silat Melayu melalui gerak panca indera dan firasat yang digunakan oleh pendekar zaman dahulu.


''Saya diberi masa yang agak selesa oleh U-Wei untuk menghasilkan semua adegan yang melibatkan pergaduhan. Untuk mendapatkan aksi yang baik, ia tidak boleh dibuat secara spontan kerana bergaduh juga sebahagian daripada lakonan,'' jelas Ku Ahmad.

Banyak yang mengagumi adegan akhir filem Matinya Seorang Patriot yang mempertemukan dua beradik, Safuan (Zulkifli Zain) dan Saiful (Eman Manan) berlawan pedang dalam ruang rumah yang kecil. Adegan ini memang mengerikan kerana kedua-dua pelakon ini membelasah bersungguh-sungguh.

''Banyak risikonya adegan bermain senjata tajam seperti itu, kalau tersilap langkah tentu nahas. Tetapi mereka berlatih bersungguh-sungguh, kalau spontan saya tak berani buat,'' jelasnya mengenai filem terbitan tahun 1984 itu.

Kata Ku Ahmad, sebagai koreografer silat, dia menghadapi masalah apabila pelakon yang banyak terlibat dalam adegan pergaduhan tidak melalui latihan asas dalam silat. Ini membuatkan dia menghasilkan koreograf berdasarkan kemampuan pelakon bukan kemahuannya sendiri.

''Kalau dalam cerita purba, silat membawa manifestasi budaya. Cara pegang keris, cara menunggu serangan musuh dan menyerang ada adabnya,'' katanya mengenai fungsi silat dalam cerita purba.

Dia memberitahu, drama moden yang menampilkan street fighting seperti dalam filem-filem lakonan Chuck Norris berbeza koreografnya dengan drama purba. Street fighting selalunya tidak memerlukan tari seperti drama purba.

Ditanya tentang banyak drama yang kononnya purba Melayu tetapi menampilkan gerak jimnastik di TV, Ku Ahmad berkata, '' Nampak huduh sangatlah kalau menendang ligat macam kipas. Saya belum pernah jumpa silat seperti itu. Kungfu bukan, silat pun bukan.''

Sumber: Utusan Online (17 Julai 1997)

No comments:

Post a Comment