Tuesday, February 21, 2012

Ada Apa Dengan Demonstrasi Silat

Demonstrasi silat yang pertama aku sertai adalah demonstrasi sempena pendaftaran dan pengambilan ahli baru silat cekak di kampus universiti tempat aku belajar. Demo pertama aku itu juga adalah persembahan silat cekak yang pertama di kampus tersebut di bawah kepimpinan guru utama baru pada masa itu iaitu Md Radzi Hanafi, anak keempat Almarhum Ustaz Hanafi. Demo pertama itu agak istimewa dan aku ingat sampai sekarang...sebabnya? Selepas selesai ucapan oleh presiden penaja dan penyelia kelas, baru demo dimulakan... di tengah panas terik matahari, di atas tar (parking lot) dan di bulan puasa... cukup resepi.

Selepas itu banyak lagi persembahan yang aku terlibat termasuk demo sempena Festival Silat Sedunia di stadium negara, demo sempena pelancaran Malaysia-Everest di Dataran Merdeka, demo Rakan Wajadiri KBS di seluruh negara termasuk di Dataran Johor Bahru dan Alor Setar. Jemputan demo silat dalam kampus tak yah cerita la... memang banyak. Setelah dilantik sebagai jurulatih, aku diamanahkan pula melatih pelapis squad demonstrasi di samping melatih anak-anak buah untuk persediaan ujian-ujian Sijil Rendah Persilatan (SRP) dan ujian Sijil Menengah Persilatan (SMP).


Setelah bermulanya pertandingan wajadiri silat cekak hanafi peringkat kebangsaan yang pesertanya terdiri daripada hampir semua kelas latihan cekak hanafi di peringkat sekolah, cawangan negeri dan institut pengajian tinggi di seluruh negara, aku terlibat pula melatih pasukan yang akan mewakili universiti. Terlalu banyak pengalaman yang aku lalui sepanjang 6 tahun berturut-turut melatih anak-anak buahku.


Bagiku ada beberapa kelebihan bila seseorang ahli senibeladiri itu terlibat dengan demonstrasi beladiri. Untuk membuat persembahan, kita perlu berlatih beberapa kali dan proses yang sama akan berulang untuk setiap demonstrasi yang disertai, jadi waktu itulah kreativiti, ketangkasan, kepantasan gerak dan kemahiran akan meningkat. Itu memang terjadi kepada anak-anak didikku... ada antara mereka yang pada awalnya teramatlah lembiknya bila buat buah silat hingga stress aku dibuatnya, tetapi sampai satu tahap... peningkatan mereka begitu drastik, jadi mantap dan tangkas... dan hasilnya ada antara mereka yang menjadi juara dalam kategori masing-masing.

Kepada adik-adik atau sahabat-sahabat yang selalu buat persembahan beladiri, ada beberapa panduan yang suka abang kongsikan di sini... pakailah kalau nak, kalau tak nak sudah....bukan ada sapa boleh paksa ponnnn... hehe...

- Jangka masa persembahan: Jika demo adalah atas jemputan pihak lain, dapatkan maklumat jangka masa persembahan yang diperuntukkan dan pukul berapa bermulanya. Selalu terjadi peserta demo syok sendiri buat demonstrasi sampai terbabas-babas dari masa yang diperuntukkan sehingga mengganggu perjalanan majlis. Orang bagi 10 minit dibantainya 40 minit, mana tak lari agenda majlis.

- Lokasi persembahan: Pastikan di mana demo akan diadakan, adakah di atas pentas, di padang, court badminton atau lain-lain kerana... adalah penting untuk kita setkan format demo yang bersesuaian dengan keluasan tempat. Kalau kat pentas muat 10 orang, tetiba kita bawa 20 orang peserta demo susah juga. Ataupun kalau demo kat padang... luas lak tu, tup-tup kita cuma set demo untuk 2 orang... sayup je la penonton nampak.

- Posisi penonton: Adakah penonton hanya berada di depan sahaja? Atau di sekeliling? Jarak penonton dengan ruang demonstrasi? Ini juga penting untuk kita setkan format demonstrasi. Kalau tempat kecik dan penonton pula rapat dengan ruang demo, rasanya tak sesuai kalau nak buat pentas parang atau tongkat panjang... nanti ada penonton yang masuk spital pulak.

- Kaedah buah: Kadang-kadang sebab nak tunjuk terer depan penonton, kita belasah partner betul-betul, konon supaya penonton tahu silat kita ganas dan terer sedangkan hakikatnya kadang-kadang penonton tak dapat nak menghayatipun 'keganasan' kita tu... contohnya kalau kita tumbuk betul-betul di dada partner takde bunyipun, kesan kepada penonton tak sampai sedangkan partner pulak yang kesakitan... alternatifnya kita buka tangan dan tepuk di dada, bunyinya lebih 'menggerunkan' penonton dan partnerpun rasa macam kena urut je. Sebenarnya banyak lagi kaedah yang boleh dilakukan untuk buat buah supaya penonton nampak macam betul sedangkan itu semua dah dirancang, tujuannya adalah untuk menjadikan demo itu puas ditonton tanpa mencederakan atau membuat partner menderita. Soal tips ini anda perlu refer senior yang berpengalaman dalam demo aliran masing-masing sebab benda ni kena tunjuk praktikal baru jelas.

- Senjata: Sekiranya demo melibatkan penggunaan senjata, pastikan kita cukup latihan untuk mengendalikan senjata tersebut dengan baik kerana takut membahayakan penonton. Aku pernah saksikan demo silat yang pisaunya terlepas dan terpelanting dari tangan pesilat dan nyaris terkena pada penonton... buatnya pisau tu terpacak kat kepala penonton tu... jawablah engkorang.

- Format persembahan: Kalau demo kita di tempat-tempat yang berbeza dengan kumpulan penonton yang juga berbeza, eloknya tak perlu kita tukar format persembahan. Ini akan menjimatkan masa latihan dan menjadikan peserta lebih mahir kerana sentiasa berlatih gerakan dan set buah yang sama.

- Tersilap sewaktu persembahan: Jika ada antara peserta tersilap buat pergerakan atau buah sewaktu demo, betulkan kembali dengan cepat. Kadangkala penonton tak perasanpun kesilapan tu sebab diaorang bukan tahu bagaimana buah silat kita dan apa pergerakan yang kita set, tetapi kalau lepas buat silap tu kita tersengih-sengih dan terkulat-kulat kat pentas tu dah sah-sah penonton akan tahu yang kita dah buat silap.

Banyak dah tips tu, nanti jadi novel pulak... ada jugak yang bosan nanti. Seperti yang pernah aku nyatakan sebelum ini, persembahan beladiri adalah sebagai pintu untuk penonton mengenali aliran beladiri masing-masing, jadi kita perlu menunjukkan 'kecantikan' aliran masing-masing agar penonton teruja dan seterusnya berminat untuk menyertai.

Lian Padukan

Lian padukan diasaskan oleh Mohamed bin Chik atau lebih dikenali sebagai Pak Mat Kedidi sebelum diteruskan oleh guru utamanya sekarang. Menjadikan konsep 'berdiri musuh' sebagai panduan tempur, lian padukan juga menekankan kaedah pukulan yang bertubi-tubi dan berterusan ke atas musuhnya sehingga musuhnya tumbang.


Sempat beberapa tahun aku mempelajari buah pukul lian padukan. Beberapa tahun... bunyinya macam lama, tapi disebabkan beberapa kekangan, aku tak dapat turun latihan setiap minggu seperti yang sepatutnya. Aku cuma sempat belajar sehingga lian empat sebelum aku berhenti sepenuhnya dari berlatih.

Friday, November 11, 2011

Buah Pukul Mersing

Buah Pukul Mersing? Pertama kali aku mendengar tentang kewujudan sejenis aliran beladiri yang bernama buah pukul mersing adalah daripada salah seorang jurulatihku sewaktu aku masih belajar silat cekak pada awal tahun 1990-an dulu...di mana, selain silat sendeng, buah pukul mersing adalah salah satu aliran yang dikaguminya. Masa itu aku belum banyak terdedah kepada nama-nama aliran beladiri selain daripada yang biasa aku dengar sahaja seperti karate, tae kwon do, silat gayung, cekak, sendeng, lincah dan mungkin beberapa lagi...tetapi buah pukul mersing?...memang nama yang terlalu asing bagiku. Oleh sebab tak banyak yang aku tahu tentang aliran ini...pulak tu namanyapun pelik sikit...takde perkataan silatpun kat depannya...buah pukul mersing?...hehe... maka bersama peredaran masa, nama buah pukul mersing inipun aku lupakan....sehinggalah....

Pertengahan dekad pertama abad ke-21, satu aliran buah pukul mersing membuka gelanggangnya di taman perumahan tempat aku tinggal, atas permintaan pihak surau dengan tujuan melatih penduduk-penduduk taman khasnya untuk ahli rukun tetangga. Aku hadir sewaktu jurulatihnya memberikan taklimat dan demo ringkas untuk memberikan lebih kefahaman tentang apa itu buah pukul mersing...dan dari situ aku tahu nama aliran ini adalah lian padukan....dan dari situ juga aku tahu rupanya aliran beladiri yang di bawah nama umumnya buah pukul mersing ada banyak alirannya dengan pelbagai nama, antaranya adalah lian padukan, gayang lima, gerak lian, lian yunan, lian kwangtung, lian paduka dan ada juga yang mengekalkan namanya sebagai buah pukul mersing sahaja. Aliran-aliran ini banyak terdapat di negeri-negeri johor, pahang dan terengganu.


Antara aliran-aliran buah pukul

Melihat persembahannya...walaupun cukup ringkas, sedikit sebanyak memberikan aku kefahaman tentang konsep buah pukul mersing, atau biasa juga dipanggil buah pukul. Gerak tangan yang pantas adalah perkara pertama yang aku perasan tentang buah pukul...seakan-akan tangan silat sendeng yang pernah aku pelajari. Konsepnya yang berbeza berbanding silat-silat yang aku pernah pelajari sebelum ini membuatkan aku merasakan yang aku perlu mempelajarinya... maka bergelangganglah aku semula...dan bermulalah juga penglibatanku dalam arena buah pukul...

Monday, September 19, 2011

Flashback

Setelah kerja selongkar-menyelongkar dibuat, baru kutemui edisi majalah Seni Beladiri yang memuatkan cerita dan menjadikan guru Seni Silat Gayung Panca Sila iaitu Mahaguru Tengku Nara Diraja sebagai cover.



Sepanjang aku belajar silat Gayung Panca Sila, aku tak pernah bertemu guru, tapi syukurlah dapat juga aku kenali beliau walaupun hanya melalui majalah Seni Beladiri. Terima kasih buat Abang Lan Ghanie.

Thursday, June 30, 2011

Kalau Aku Kalah...

Dulu-dulu...sejak dari tahun 80-an di mana aku mula terlibat dengan seni beladiri... sehinggalah beberapa tahun yang lepas, aku selalu mendengar cerita dari jurulatih atau kawan-kawan tentang kisah cuba mencuba atau istilah popularnya try antara pengamal seni beladiri berbeza aliran. Kisahnya yang selalu diceritakan... kalau berlaku pertembungan satu lawan satu bila satu pihak menjual dan satu pihak lagi membeli... kalau aku kalah aku akan belajar silat kau, tapi kalau kau kalah kau akan belajar silat aku.

Tapi baru-baru ini (tak baru sangat la... ada la dalam setahun) aku memperolehi pandangan berbeza daripada individu yang bertaraf guru, yang aku tahu memang ada pengalaman dalam hal try-menerai ni.

Katanya; “Kalau kau datang cabar aku...kalau aku kalah aku tak akan belajar silat kau kerana mungkin hari ini hari kau, esok kalau lawan lagi, belum tentu kau akan menang! Kalau kau yang kalah, aku tak akan ajar kau kerana nanti kau akan lawan aku balik selepas aku ajar kau.”


Gambar Hiasan - Tiada kena mengena dengan sesiapa sama ada yang masih hidup atau masih mati.

Dan tak lama selepas itu, sewaktu aku berbual dengan seorang lagi guru silat, kebetulannya beliau juga memberi pandangan yang sama dalam hal tersebut, walaupun aku tak beritahupun tentang pandangan guru yang pertama tadi. Mereka berpendapat kalau seseorang itu ikhlas untuk belajar, mereka tak akan cuba untuk berlawan dengan gurunya terlebih dahulu.

Secara peribadi aku berpendapat, sama ada yang kalah akan belajar silat yang menang atau tidak, dua-duanya keadaan boleh terjadi bergantung kepada individu yang terlibat. Kalau yang datang menjual itu datang dengan baik, gentleman dan tahu menghormati lawannya, tak salah kalau kedua pihak bertukar kemahiran masing-masing. Tapi kalau yang menjual datang dengan cara yang kurang ajar, memang patut berlaku sebagaimana yang guru-guru tadi beritahu.

Bagi aku, paling elok kalau ada yang datang nak mencabar, ajak minum kopi 5 in 1 superpower kat kedai mamak... ye la kalau lawan mungkin yang kalah akan berdendam dan malu, jadi lebih baik tambah kawan daripada tambah lawan.

Monday, June 13, 2011

Kongsi, KL Gangster dan Aksi

Jarang aku menonton filem Melayu...tak kisahlah kat panggung atau DVD, kadang-kadang siar kat TV depan matapun tengok tak tengok je. Dalam kategori filem, untuk filem-filem Melayu selepas zaman Rahim Razali, jarang dapat disaksikan aksi beladiri yang betul-betul memuaskan hati aku. Hari tu tertengok lak preview filem Kongsi, macam best....so selepas entah berapa tahun tak tengok filem aksi kat panggung (memang dah lama takde filem aksi pon...asyik citer hantuuuu je manjang) aku dengan perasaan berbelah bagi terpijak la jugak ke panggung GSC untuk tengok citer Kongsi tu.... overall sebagai sebuah filem Melayu, aku puas hati dengan jalan cerita, sound effect dan special effect (filem Melayu...takkan nak expect tinggi sangat kot...hehe..)...tapi sayang...watak hero (Fizo Omar) lembik semacam bila main muay thai dan adegan lawan, harap badan je tegap... watak Tumulak (Shaheizy Sam) nampak lebih ok dan real. Yang pelik bukannya apa, untuk filem budget besar sampai juta-juta macam tu, takkan la takleh nak hire sorang choreographer handalan yang fokus untuk latih watak-watak utama untuk adegan fight?


Walaupun Fizo tak pernah belajar seni beladiri (kalau tengok dari geraknya dalam adegan fight...aku rasa camtu la..), tapi kalau berlatih dan dilatih betul-betul, takde la nampak lembik camtu sekali. Rasanya Keanu Reeves pun bukannya ada belajar Kung Fu pun, tapi dalam filem Matrix, takde la nampak macam dia tak belajar.

Selain dari babak hero lembik, ada beberapa lagi perkara yang aku kurang puas hati mengenai filem Kongsi ni, tapi kang ada orang offer jadi pengkritik filem pulak kalau komen lebih-lebih...tapi rasa macam nak komen jugak...hehe... Ada ke patut polis pompuan pegi atas bumbung sorang-sorang nak tangkap penjenayah yang bersenjata lagi berbahaya dan pembunuh upahan, dah la pompuan, sorang pulak tu, tak bawak pistol pulak tu.... sungguh tak logik.... yang lain tu maleh aku nak komen... ada la beberapa lagi adegan tak logik...you all you all tengok dan nilai la sendiri.

So untuk menghilangkan bengang tengok filem Kongsi tadi, aku tengok pulak filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof (aku la salah seorang penyumbang kepada kutipan RM1.5 juta hari pertama tayangan filem ni...heheh bangganya aku...). Filem ni dari awal sampai akhir action manjang, takde cintan cintun dan jalan ceritanya bergerak pantas, tak sempat ada adegan tunjuk ombak laut ke, burung berkicau ke atau apa saja yang slow-slow....memang ceritanya pack... bukan macam citer arahan ayahandanya Gerak Khas...kisah tentang isteri kena derapun sampai 3 episod...(kes dera pun kena bahagian Gerak Khas yang handle ke?..hehe..)


Macam biasa la, part utama yang aku nak komen ni musti part gaduh punya. Adegan gaduh memang best, walaupun Aaron Aziz sendiri mengaku yang dia tak pernah belajar apa-apa seni beladiri, tapi effect kamera termasuk angle dan teknik goyang-goyang berjaya menutup kelemahan dari dikesan oleh aku. Nampak seperti choreographernya memang ambil jalan selamat untuk tidak membuat teknik yang fancy2 dalam adegan gaduh ni. Elok la tu, daripada nak buat teknik yang canggih-canggih tapi menampakkan kebodohan sendiri elok la ambik jalan selamat. Teknik gaduhnya pula campur-campur, tapi macam banyak elemen Kung Fu, teknik chain punch atau machine-gun punch wing chun pun ada... penumbuk power ala-ala Donnie Yen dalam filem SPL pun ada... Apa-apapun secara keseluruhannya aku puas hati tengok filem ni... terubat la juga kebengangan tengok citer Kongsi.

Entah bila boleh tengok filem silat sebaik filem Ip Man. Kata seorang guru Wing Chun, dalam filem Ip Man 1 dan 2...yang betul-betul teknik Wing Chun cuma pada permulaan cerita je... yang lain tu dah campur-campur. Tapi tak kisahlah, sekurang-kurangnya filem itu melonjakkan lagi nama Wing Chun yang dah sedia terkenal tu. So kalau adanya filem silat yang bagus, nak naikkan nama silat tu satu hal, tapi yang paling penting memuaskan hati orang yang menengoknya... terutamanya aku...hehe...

Thursday, March 31, 2011

Silat Aku Adalah Yang Terbaik

Rasanya ramai daripada kita yang biasa dengar ungkapan seperti tajuk di atas atau yang sewaktu dengannya. Bukan sikit ahli seni beladiri, tak kira silat atau bukan silat yang taksub melampau-lampau kepada aliran yang dipelajarinya. Ya lah, kalau sejak dari awal belajar lagi dah disajikan dengan macam-macam cerita kehebatan alirannya, guru kita pernah kalahkan si polan si polan, jurulatih kita pernah tumbangkan silat tu silat ni, ahli kita pernah belasah mamat tu mamat ni.... mana anak muridnya tak taksub?

Cerita yang didendangkan tu mungkin betul mungkin juga rekaan. Jika rekaan alamat hidup-hidup la kena tipu penuntut tersebut, jika betul sekalipun, adakah kemahiran kita-kita yang bangga gila dengan aliran kita ni sama tingginya dengan guru-guru, jurulatih-jurulatih dan ahli-ahli kita yang pernah tumbangkan ahli beladiri aliran lain tu? Dan jika betul sekalipun adakah lawan kita nanti kemahirannya lebih rendah dari lawan yang pernah bertempur dengan guru-guru, jurulatih-jurulatih dan ahli-ahli kita yang pernah tumbangkan ahli beladiri aliran lain tu?


Kita belajar silat cekak, kita akan diceritakan kehebatan silat cekak belasah silat gayung...kita belajar gayung, kita akan diceritakan kehandalan gayung tumbangkan pesilat cekak... Tomoi akan cerita diaorang kalahkan tae kwon do, tae kwon do kalahkan ahli karate....dan begitulah seterusnya. Semua itu ada betulnya dan mungkin ada tokok tambah, tetapi isunya di sini adalah bukan aliran beladirinya, tetapi pengamal beladirinya. Sebagus mana aliran beladirinya sekalipun, kalau latihanpun celap celup, kalau belajar dah beberapa tahun tapi turun gelanggang hanya 2 bulan sekali, agak-agak boleh ke lawan ahli aliran lain yang baru belajar beberapa bulan tapi berlatih setiap hari? Maknanya kemahiran akan diperolehi melalui latihan, latihan pula merujuk kepada kekerapan berlatih, bukan lamanya jangka masa kita mula belajar beladiri tersebut. Bak kata salah seorang guru kepada watak Mas Oyama, pengasas Karate Kyokushin dalam cerita Fighter In The Wind, “You train 1,000 times, you are a beginner, you train 10,000 times you are a master”. Jadi sebelum nak riak dan bangga diri, cermin-cermin la jugak bagaimana dan berapa kerap kita berlatih.


Belajar seni beladiri adalah tentang ikhtiar dan tawakal. Ikhtiar sebagai persediaan menghadapi sekiranya berlaku pencerobohan atas diri, keluarga, bangsa dan agama kita. Bukanlah belajar itu untuk cabar-mencabar dan membanding-banding siapa yang lebih kuat atau aliran beladiri siapa lagi hebat. Aliran beladiri yang kau belajar hebat atau tidak, beladiri yang aku belajar mantap atau tidak, aku lebih mahir daripada kau atau kau lebih mahir daripada aku, ahli aku lagi ramai atau ahli kau lebih ramai adalah perbalahan yang sia-sia kerana semuanya perlu bersatu bila adanya pencerobohan atau bila keadaan memerlukan.

Untuk tidak berlakunya perbalahan begini memang agak sukar selagi namanya manusia, kerana sifat hasad dengki, sukakan kuasa dan kehebatan adalah memang naluri manusia, tetapi aku percaya jika guru-guru, jurulatih-jurulatih, abang-abang dan otai-otai aliran beladiri masing-masing memberikan teladan yang baik kepada penuntut-penuntut baru dan adik-adik yang baru berjinak-jinak dengan seni beladiri, keadaan ini tak mustahil boleh diperbetulkan.


Siapa boleh nafikan kehebatan dan ketepatan sepakan dan tendangan tae kwon do..? Tiada juga yang boleh pertikaikan kemantapan tumbukan dan kekemasan langkah karate, anda boleh pengsan atau mati kalau dikunci pesilat gayung, kepantasan tangan pesilat sendeng siapa yang tak tau?... buah serang atau buah sebiji silat cekak, kalimah dan lain-lain dari aliran Pak Ya ramai yang akui kehebatannya, dan tak kurang hebatnya juga jatuhan dan humbanan oleh ahli judo atau aikido. Seni beladiri...silat, tae kwon do, karate, kalari payat, silambam, aikido atau apa jua namanya sekalipun adalah ciptaan manusia yang pasti ada kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri. Belajarlah apa aliran beladiri sekalipun, selagi niat kita baik, aku yakin, DIA akan memudahkan dan membantu kita.

Pengalaman aku menyertai beberapa kursus intensif beladiri beberapa aliran membuatkan aku yakin, pemikiran ahli-ahli beladiri mula berubah ke arah yang lebih positif. Aku dapat saksikan sendiri bagaimana pengamal-pengamal beladiri pelbagai aliran yang bertaraf guru menghormati antara satu sama lain, sejuk hati dan mata memandang. Aku harap, cepat atau lambat, penyatuan dan keharmonian antara pengamal beladiri berbeza aliran ini akan menjadi realiti...dan tiada lagi ungkapan... “Silat Aku Adalah Yang Terbaik.” Aku harap begitulah...