Tuesday, February 1, 2011

Maaf, Ia Tiada Di Sini dan Usahlah Terlalu Mengharap

Artikel di bawah adalah tulisan seorang sahabat dari Silat Kalimah (Yahya Said) yang aku rasa amat menarik untuk dikongsi dengan semua. Ikuti tulisan beliau.

Apakah yang anda harapkan apabila anda datang bertandang ke gelanggang Silat Kalimah yang dipimpin oleh Pak Jo? Tidak kiralah samada kedatangan anda itu sebagai tetamu ataupun sebagai seorang penuntut.

Berikut ini adalah beberapa perkara yang tidak mungkin anda dapati di gelanggang Pak Jo ataupun di dalam silibus pelajaran Silat Kalimah yang beliau “perturunkan” kepada para penuntutnya.

1 – Mahu belajar SILAT KALIMAH sehingga menjadi seorang “PENDEKAR”!?

Maafkan Pak Jo. Beliau sering menyebut: “Saya sendiri bukanlah pendekar ataupun juara, jadi bagaimana saya sendiri mampu melahirkan pendekar ataupun juara? Di sini silibus pelajaran akan tamat selepas 6 bulan latihan = 48 hari latihan = 2 x seminggu = 2 jam x 1 sessi latihan. Apakah mungkin seseorang itu jadi pendekar dalam jangka masa seperti itu ? Maka 6 bulan tempoh latihan ini memadailah (mencukupi) untuk menjadi anda tahu serba-sedikit bagaimana untuk membela diri dan memenagi pertempuran dan bukannya untuk menjadi seorang pendekar ataupun sang juara”.

2 – Mahu memiliki tubuh badan yang sasa seperti seorang ahli bina badan (bodybuilder) atau kuat seperti Badang?

Maafkan kami sekali lagi. Di gelanggang di mana Pak Jo mendidik kami tiada sebarang peralatan untuk tujuan itu. Seperkara lagi, menurut Pak Jo, Silat Kalimah sebagai sebuah silat yang terhasil dari gerak-geri semulajadi fitrah manusia biasa (yang bukannya “Superman” ataupun “Incredible Hulk”) dan sebagai sebuah Silat Melayu Asli, ia tidak menjadikan hal itu sebagai fokus utama.

Jika keperkasaan tubuh dan badan yang berotot sasa yang menyebabkan seseorang itu menang di dalam sesebuah pertempuran/pergaduhan, maka itu bermakna kita meletakkan sifat “TIDAK ADIL” kepada ZAT ALLAH SWT. Sedangkan DIA menciptakan manusia ini di dalam berbagai rupa fizikal.

Artinya, pelajaran Silat Kalimah yang ada pada Pak Jo hanyalah untuk menyelamatkan diri di situasi pergaduhan dan menguasi situasi itu serta memenanginya tanpa mengira apa pun saiz tubuh-badan anda.

Jika berotot sasa dan bertubuh perkasa menjadi faktor anda mampu memenangi sesebuah pertempuran, maka bagaimana jika anda berhadapan pula dengan lawan yang jauh lebih sasa, lebih kuat dan lebih besar-panjang saiznya berbanding diri anda?

3 – Anda mahu Pak Jo menunjukkan aksi-aksi silat yang dilakukan dengan pantas?

Pak Jo menjawab: “Apakah KEPANTASAN yang dikehendaki itu? Jika itu bermakna setiap buah yang dilakukan diukur masanya dengan pengukur masa maka itu akan melahirkan KELAM-KABUT. Kelam-kabut pula akan menyebabkan setiap gerak dan kaedah tidak dapat dilaksanakan dengan tepat. KEPANTASAN sebenarnya ialah setiap pergerakan itu dilakukan tanpa menggunakan kudrat (tenaga) yang banyak ke atas lawan dan hanya menggunakan apa yang diperlukan ketika itu”.

“KEPANTASAN juga bukanlah dengan melakukan sesebuah buah/aksi itu secara “one shot” dan sekaligus “tidak bermalam”. Bahkan sebenarnya ia hendaklah dilakukan setahap demi setahap, selangkah demi selangkah. Katakanlah sebiji buah silat itu perlu dilakukan dengan 4 langkah, maka setiap langkah itu sebenarnya sudah cukup mengajar kita untuk berwaspada dan menjangkakan respon dan refleks lawan serta sudah cukup untuk menghukum lawan”.

“Laju hang mai, laju hang pi. Pantas hang menderu, hang akan tewas. Laju jangan sampai kalut dan bocoq (bocor) kaedah. Tumakninah dan tertib jangan dilupa. Belajaq (belajar) tumbuk bagi kena. Pandang ke atas jangan lupa tanah yang dipijak. Tengok satu biaq (biar) nampak semua. Sukat itu wajib, sekat itu waspada. Akal ada jangan dibuang ke tepi. TUHAN itu sentiasa ada, sedetik pun usah dilupa”.

4 – Anda mahukan gaya seorang ahli sukan (athlete) ataupun komando?
Pak Jo menjawab: “Kebanyakan kita adalah manusia biasa yang bukannya ahli sukan ataupun komando. Kita sendiri punya banyak kerja dan komitmen lain. Sedangkan untuk menjadi seperti mereka perlukan satu latihan khusus yang memakan masa yang agak panjang. 6 bulan sessi latihan yang diperuntukan ini adalah untuk melahirkan seorang manusia biasa yang tidak tahu menggunakan anugerah ALLAH menerusi fizikal dan mentalnya sebelum ini kepada seorang hamba ALLAH yang dapat bersyukur kepada ILAHI di atas nikmat fizikal dan mentalnya yang dikurniakan-NYA”.

5 – Anda mahukan satu sessi latihan Silat yang dimulakan dengan beberapa aksi senaman “warm-up”, ada latihan menggunakan “punch bag” atau “Wooden Dummy ala Kung-Fu Yip Man”?

Maafkan Pak Jo. Ini adalah latihan Silat Melayu dan bukanlah ia latihan Tinju Barat (Western Boxing), Tomoi Siam (Muay Thai), Karate mahupun Kung-Fu.

Allahyarham Pak Yahya Said (Pak Ya) pernah diminta pandangannya mengenai pesilat yang berlatih menumbuk dan memukul benda-benda yang keras. Komen Pak Ya: “Itu semua adalah penderaan diri yang Islam melarang kita melakukannya”.

Pak Jo biasanya hanya akan melatih bagaimana untuk “warm-up” dengan beberapa latihan “senaman pelebat/pelampas”, “bunga tari” dan “Gerak Langkah (Jurus)” yang dilakukan dengan tenang dan rileks (santai). Di dalam latihan itu sendiri sudah banyak petua dan cara untuk menghadapi sesebuah pertempuran jarak dekat.

Jika anda tetap mahukan itu semua, Pak Jo tidak pernah menghalangnya. Tapi, silalah berlatih itu semua di tempat dan masa lain. Mahu berlatih “lempar dart”, “melastik”, “memanah” dan “menembak” pun tidak mengapa. Dua (2) jam masa yang diperuntukkan untuk setiap sessi latihan bukanlah untuk itu semua, bahkan untuk memperhalusi setiap tindak-tanduk berdasarkan latihan buah dan kefahaman teknik-teknik yang disampaikan.

Hakikatnya, pada diri manusia itu sendiri (struktur dan anggota tubuh badannya serta langkah-langkahnya bahkan pada pergerakannya secara fitrah sehari-hari) sudah tersirat berbagai manfaat yang sama dengan mereka yang biasa berlatih menggunakan “punch bag” dan “wooden dummy”. Namun berapa ramaikah yang mengerti?

6 – Anda mahukan sebuah silibus silat yang lengkap dengan berbagai buah seperti asas tepisan, asas pukulan, buah tangkapan, buah tempur (combat), buah gelanggang/pentas (lakonan) dan buah umum?

Pak Jo menjawab: “Yang ada pada Silat Kalimah hanyalah pelajaran Asas Tepisan-Pukulan dan Buah Tangkapan (Buah Jatuh). Semua yang dikatakan “Buah Combat” dan sebagainya sudah ada di dalam pelajaran Asas Tepisan-Pukulan dan Buah Tangkapan. Tidak perlu ia diasing-asingkan secara pelajaran khusus kerana ia menuntut masa latihan yang panjang dan sudah tentu tempoh 6 bulan itu tidak mencukupi”.

7 – Anda mahukan pelajaran silat yang mengandungi aksi-aksi “supernatural” @ “kebatinan” @ “tenaga dalam” @ “aksi luar biasa” @ “ilmu kebal” @ “ilmu jurus pukulan jarak jauh” @ “jampi-serapah”?

Maaf sekali lagi. Itu semua tidak diajar oleh Pak Jo. Yang dididik dan ditarbiyyah adalah untuk menjadi seorang manusia biasa yang waras akalnya dan senantiasa bergantung harap dan tawakkalnya kepada ALLAH TA’ALA dan bukannya manusia yang bergantung harap kepada jampi serapahnya, amalan-amalan hikmahnya atau kependekaran dan kelicikannya bersilat.

Pak Jo biasa mendidik para penuntutnya dengan katanya: “Tak ke mana pun semua amalan kebatinan itu dan semua kelicikan kita bersilat jika tiada doa dan pergantungan kita yang bulat serta penyerahan kita yang muktamad kepada Qudrat dan Iradat ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA”.

8 – Anda mahukan pelajaran Silat Kalimah yang mempunyai berbagai pelajaran senjata yang berbagai? Ada keris, tekpi, lembing, pedang, kerambit, perisai dan sebagainya?

Biasanya respon Pak Jo adalah: “Kita lebih memfokuskan senjata yang menjadi kegunaan harian. Yang tidak dianggap sebagai senjata tempur jika dibawa ke mana-mana. Tidak melambangkan bahawa diri kita ini adalah pendekar apabila ia diusung ke mana-mana. Biasanya secara fitrah, manusia tetap perlukan 3 alat ini untuk keperluan hidup dan ia tidak dianggap sebagai senjata (walaupun boleh digunakan sebagai senjata) iaitu: 1- Pisau, 2 – Golok, dan 3 – Tongkat”.

Pak Jo menyebut lagi: “Pak Ya sendiri memang ada berbagai silat yang beliau pelajari dan beliau sendiri dianggap pandai menggunakan tekpi. Namun yang beliau turunkan hanyalah SILAT KALIMAH”.

Katanya lagi: “Mahu belajar dan dibuat perbandingan senjata apa pun, boleh. Tapi tamatkan dulu semua pelajaran yang ada ini di dalam masa 6 bulan. Selepas itu, silakan jika ada sebarang cadangan untuk latihan dan silibus pelajaran. Silat ni bukan hak saya seorang, bahkan ia hak semua yang terlibat belajar dan mengajar. Kita bergerak di dalam JAMAAH. Apabila JAMAAH menetapkan hal itu perlu dan tidak bertentangan dengan Islam dan fitrah, kita sama-sama menjayakannya. Tiada apa-apa masalah pun. No hard feeling in my heart about all of these”.

9 – Anda mahukan Pak Jo menunjukkan aksi-aksi Silat Kalimah sebagaimana yang beliau fahami?

Maaf, ia tidak akan berlaku sekiranya anda cuba menonjol diri anda sebagai orang yang lebih tahu dari diri beliau. Bagi Pak Jo, beliau bukanlah pendekar ataupun seorang manusia yang hebat. Ramai orang lain yang lebih tahu dan lebih hebat berbanding beliau. Adapun Silat Kalimah yang beliau sampaikan adalah berdasarkan kefahamannya sendiri yang ditimba menerusi berguru, pengalaman dan kefahaman yang dipohon selalu ke hadrat ALLAH.

Artinya Silat Kalimah yang ada pada beliau ini adalah ibarat “KUEH APAM BALIK” yang dihasilkan adalah menurut kefahamannya tersendiri dan bukannya menurut kefahaman orang lain.

Pak Jo biasa menyebut: “Silat Kalimah yang saya bawa ini adalah ibarat kueh Apam Balik yang dihasilkan menurut citarasa dan kefahaman saya. Gelanggang saya ini pula ibarat sebuah gerai yang menjual kueh ciptaan saya. Maka apakah patut tiba-tiba datang seseorang ke gerai saya dengan hanya melihat kueh Apam Balik saya ini tanpa merasainya, lalu dia memberikan komen itu dan ini? Apa salahnya, rasalah dulu kueh saya ini dan kemudian jika ada sebarang komen, saya bersedia mendengarnya. Ataupun, rasailah terlebih dahulu kueh Apam Balik saya ini. Jika tidak berkenan di hati dan tidak lagi mahu membelinya, maka tiada salah pun”.

Apakah patut seseorang itu ke “gerai Pak Jo” tetapi menikmati “kueh Apam Balik ciptaan orang lain” ( bawak dari gerai lain ) dan tidak pula menghiraukan “kueh Apam Balik” yang tersedia di “gerai Pak Jo” itu?

Namun, “spesis” seperti ini sememangnya ada di mana-mana pun. Apakah orang seperti ini lupa akan pepatah Cina yang mafhumnya: “Kosongkanlah terlebih dahulu cawan anda, barulah anda dapat menikmati teh yang akan saya tuangkan ini”.

Kebanyakan para pelajar yang datang menuntut Silat Kalimah dari Pak Jo adalah mereka yang sudah biasa berlatih beberapa aliran Silat/Seni Tempur yang lain. Sebahagiannya pula sudah biasa berlatih Silat Kalimah ataupun Silat Cekak sebelum mereka datang pula kepada Pak Jo. Namun, segala ilmu dan pengalaman yang mereka ada itu mereka “letakkan ke tepi buat sementara waktu” agar jiwa-raga dan akal mereka dapat menerima dan menikmati pula kelainan seni dan keunikan cara yang ada pada Pak Jo (dengan izin dan rahmat ALLAH TA’ALA).

Sekiranya sikap ini dapat anda tonjolkan dan bukannya ego, insya-ALLAH apa sahaja Seni Tempur dan Bidang Pengetahuan akan dapat dikuasai oleh anda dengan sebaik-baiknya.

10 – Anda mahu Pak Jo mengajar anda dan mengikut kehendak anda?

Beberapa tahun lalu, Pak Jo pernah diminta membuka kelas Silat Kalimah oleh rakannya. Kata kawannya itu: “Hang buka kelas Silat Kalimah ni, Jo. Aku support hang. Meletup sana. Meletup sini ooo!. Kita dah ada 38 cawangan $*%@ (nama parti politik yang dah semakin hilang pengaruh) yang sedia nak tolong”.

Permintaan yang bermotif politik dan wang ringgit ini cukup membuatkan Pak Jo loya tekak dan meluat mendengarnya. Kata hati Pak Jo: “Oh, hangpa ingat aku tak tau. Lepas hangpa bagi aku itu dan ini, hangpa nak buat aku macam lembu kena cucuk hidung. Turut semua kehendak hangpa. Pigi daaaaa!!!”.

Itu bukanlah bermakna Pak Jo keras kepala ataupun sombong. Beliau keras kepala kepada setiap orang yang menjadikan diri sendiri tak ubah seperti THOGHUT dan beliau tegas di dalam berpegang dengan prinsip-prinsip hidupnya selagi tiada hujah yang kuat yang boleh mengubah pendiriannya itu.

Setelah anda mengetahui dan merenung kembali sedalam-dalamnya beberapa perkara di atas, maka tibalah masanya untuk anda bertanya pula kepada diri anda sendiri: “Apakah aku sudah bersedia untuk menziarahi ataupun menerima didikan daripada hamba ALLAH yang bernama Pak Jo ini?”.

Sekian

100% kredit kepada http://kelabsilatkalimah.wordpress.com/

Monday, January 17, 2011

Cikgu Mail yang Aku Kenali

Aku dan beberapa rakan seperguruan dalam SC sama-sama belajar Silat Sendeng dengan Cikgu Mail di kampus tersebut. Kami semua memanggil Cikgu Mail dengan panggilan “Tok”, dan sememangnya cara Tok melayan kami amat mesra... seperti anak dan cucu beliau sendiri, berbual dengan Tok mengingatkan aku pada atuk dan nenek aku di kampung.


Tok memang suka bercerita, banyak kisah-kisah beliau sendiri dan abangnya Pak Hamid diceritakan kepada kami, antaranya adalah kisah seorang guru silat yang mengaku kebal tapi berdarah dahinya kena penangan tangan besi Pak Hamid dan juga kisah seorang pakar kung fu yang datang mencabar tetapi dia sendiri yang tewas di tangan Pak Hamid.

Guru-guru silat kita dulu memang terserlah sifat patriotik mereka, sebagaimana kisah Ustaz Hanafi yang nyaris mencabut kepala lutut seorang pengamal satu seni beladiri Jepun kerana pengamal beladiri Jepun tersebut bertanyakan kepada Ustaz Hanafi sama ada silat orang Melayu bagus atau tidak. Tujuan Ustaz Hanafi adalah supaya pengamal beladiri tersebut balik ke Jepun dan menunjukkan kepada rakan-rakannya di sana, “Inilah penangan Silat Melayu”, tetapi nasibnya baik kerana atas sebab yang tertentu, pergaduhan itu tidak berlaku.

Satu peristiwa tentang Tok yang aku tak dapat lupakan sehingga sekarang adalah pada hari di mana Tok membacakan doa selamat sebagai menerima kami sebagai murid beliau. Setelah beberapa hari kami berlatih, Tok memanggil aku dan kawan-kawanku yang berjumlah lebih kurang 4 - 5 orang, berdiri membentuk bulatan termasuk Tok sendiri. Tok membacakan doa sebagai menerima dan mengiktiraf kami sebagai muridnya, selepas itu Tok menunjuk kepada kami seorang demi seorang sambil menyebut aliran silat yang pernah kami pelajari sebelum melangkah ke gelanggang sendeng tersebut. Tok menunjuk kepadaku, sambil menyebut “Cekak”, seterusnya kawan sebelahku, “Gayong”, sambil menunjuk kepada kawanku yang seterusnya Tok berkata, “Kau silat apa tu, yang kat Melaka...”, kawan aku menjawab, “Silat Pelanduk Putih”.


Aku terkejut bercampur kagum. Kalau aku... mungkin Tok tau aku pernah belajar Silat Cekak sebab kami pernah berjumpa dan berbual seperti yang pernah aku ceritakan sebelum ini, tetapi bagaimana dia tahu apa yang kawan-kawanku belajar sebelum ini sedangkan aku sendiri tak tau apa yang mereka belajar. Aku bertanya kepada kawan-kawanku pernahkah mereka beritahu sesiapa silat apa yang mereka belajar sebelum ini, mereka jawab tak pernah. Bagi Tok seolah-olah tertulis kat dahi kami apa nama silat yang kami belajar sebelum ini, hehe... dan untuk makluman anda, ini bukanlah kali pertama aku temui orang yang berkebolehan menceritakan tentang orang lain yang tak pernah mereka kenali. Kami pula, kononnya nak rahsiakanlah dari Tok yang kami semua pernah belajar silat lain, tapi sekali silap orang daaa.... kantoi la pulak dengan Tok.

Sehingga kini, walaupun telah belasan tahun berlalu sejak aku berguru dengan Tok, walaupun aku hanya belajar SS sehingga sekali ujian, kenangan itu tak mungkin aku lupakan. Aku hormat Tok, dengan sifatnya yang mudah mesra dan tidak meninggi diri walaupun beliau seorang yang bertaraf guru. Semoga roh Tok @ Allahyarham Haji Ismail bin Haji Hamzah yang meninggalkan kita pada tanggal 22 Mac 2002 di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Monday, July 19, 2010

Seni Silat Sendeng Malaysia

Sekitar tahun 1990-an di Taman Melawati...dari tingkap ofis aku dapat melihat beberapa orang pelajar sebuah kolej di situ sedang berlatih. Habis waktu kerja, aku mendekati dan berbual dengan mereka...dan dari situ aku tahu mereka berlatih Seni Silat Sendeng (SS). Sewaktu aku masih belajar SC dahulu, salah seorang jurulatihku pernah berkata, secara peribadi beliau meminati dan mengagumi beberapa aliran silat yang mana salah satu daripadanya adalah Silat Sendeng. Jadi secara tak langsung, setelah memperolehi sedikit sebanyak maklumat, ianya mempengaruhi fikiranku untuk mengenali silat ini.

Pernah suatu masa, sewaktu aku bersama ahli-ahli SC baru selesai mengadakan demonstrasi pengenalan dan pengambilan ahli baru di kampus tempat aku mengajar SC, kami didatangi oleh beberapa orang yang sebahagiannya aku kenali sebagai ahli SS. Tempat latihan mereka cuma lebih kurang 100 meter dari tempat kami membuat demonstrasi. Salah seorang daripada mereka (yang aku tidak kenali pada masa itu) bertanya adakah ada antara kami yang mengenali beliau. Kami yang pada masa itu boleh dianggap generasi baru jadi terpinga-pinga bila disoal begitu oleh orang yang tidak kami kenali. Setelah jurulatih senior kami datang, barulah kami tahu bahawa orang yang menegur kami tadi adalah Hj. Ismail Hj. Hamzah, Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia.


Agak lama kami berbual dengan beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mail dan beberapa orang ahli SS yang lain. Beliau begitu peramah dan mesra walaupun pertama kali berjumpa. Dari perbualan itulah baru aku tahu bahawa dia merupakan kawan baik dengan Ustaz Hanafi iaitu pengasas SC, manakala abangnya iaitu Hj. Hamid Hj. Hamzah yang juga dikenali sebagai Pak Hamid tangan besi, pengasas PSSSM pula berkawan dengan Yahya Said, guru kepada Ustaz Hanafi. Banyak pengalaman yang diceritakan dalam pertemuan singkat itu.


Dari beberapa pertemuan dengan ahli-ahli dan guru SS itulah yang mencetuskan minatku untuk mengenali SS dengan lebih dekat. Jadi aku nekad untuk mempelajarinya...di gelanggang latihan di kampus yang sama. Aku, disertai beberapa orang kawan mula mempelajari SS di bawah jurulatihnya Cikgu Mail sendiri dan beberapa pelatih senior. Latihannya agak keras, masa tu aku rasa stamina masih baik lagi, tapi kalau sekarang ni kena buat latihan macam tu, mau pancit rasanya. Setelah beberapa bulan berlatih, atas sebab-sebab yang aku sendiri tidak ketahui, gelanggang SS di kampus tersebut ditutup. Aku hanya sempat menjalani ujian peringkat pertama sahaja, itupun dibuat di sebuah masjid di Sri Damansara. Memang di masjid itu ada gelanggang latihan, tetapi lokasinya yang agak jauh dari kampus beserta masalah pengangkutan, aku tak dapat meneruskan latihan SS....dan di situlah jodohku dengan SS berakhir.

Friday, July 2, 2010

Drama dan Filem Beladiri

Filem dan drama berunsur seni beladiri, sama juga seperti demonstrasi, ada yang bagus, pantas, tangkas dan mempunyai gerak yang mengagumkan dan sebaliknya pula ada yang dibuat sambil lewa, gerakan lembab, langkah sumbang...janji ada sepak dan tumbuk, kira seni beladirilah tu. Sahabat semua sendiri sedia maklum yang mana satu filem atau drama seni beladiri yang bagus dan yang mana tidak, apatah lagi sebagai seorang pengamal beladiri, kita tau pelakon mana yang ada kemahiran atau tidak. Bukan tidak pernah kita menonton filem yang bila heronya membuka langkah silatnya sahaja dah terserlah sumbangnya dan amat ketara yang dia tidak mempelajari apa-apa seni beladiri, kaku semacam je. Kalau nak cerita tentang perkara ini sahaja memang panjang, jadi dicadangkan sahabat pergi ke link berikut untuk lebih jelas. http://www.filemkita.com/maklumat/artikel/artikel_01.html

Antara drama dan filem berunsur seni beladiri yang aku minati sejak dulu hingga sekarang adalah seperti Luk Tujuh, Pendekar Kundur, Keris Hitam Bersepuh Emas, Matinya Seorang Patriot, Puteri dan Syahadat, manakala filem-filem luar pula adalah seperti Fist of Legend, SPL, Dragon Tiger Gate, Fighter In The Wind, Zatoichi, Crying Freeman, Ong Bak, Tom Yum Goong dan Ip Man.



Ada sesiapa boleh cadangkan apa lagi tajuk filem-filem yang aksi seni beladirinya boleh dikategorikan sebagai bagus? Terima kasih



Sunday, June 6, 2010

Silat Seni Gayong Malaysia & Pusaka Gayong

Aku sebenarnya meminati hampir semua jenis seni beladiri. Di mana atau bila sahaja ada kesempatan aku hampir tak mungkin akan terlepas untuk melihat demonstrasi-demonstrasi yang diadakan. Tapi seringkali juga berita sampai ke pengetahuanku hanya selepas demonstrasi selesai, memang frust la jawabnya. Harap ada di kalangan sahabat yang mungkin tahu sekiranya ada blog atau laman web yang menyiarkan acara-acara demonstrasi seni beladiri yang bakal diadakan di mana-mana dapat membantu hamba ini, jadi tidaklah hamba hanya tahu selepas acaranya berakhir.

Seperti yang pernah aku nyatakan sebelum ini, antara aliran seni beladiri yang jarang gagal menarik perhatianku bila membuat demonstrasi adalah seni silat dari aliran Gayong, sama ada Gayong Malaysia ataupun Pusaka, apatah lagi jika demonstratornya adalah otai-otai seperti Jebat dan (arwah) Zulkarnain, Kasturi dan lain-lain orang lama, kegagahan dan ketangkasan mereka sememangnya terserlah. Demo parang berapi adalah antara trade mark silat Gayong, biasanya memang adalah penonton yang menjerit (pompuan la...tak tau la jika ada lelaki yang menjerit..hehe...) sebab ngeri tengok percikan bunga api dan bunyi dua parang berlaga depan mata. Tak kurang ngeri dan menarik juga buah-buah kuncian dan seni lompatan dan akrobatik yang dipersembahkan. Bukan menidakkan kehebatan persembahan seni beladiri lain, Cuma mungkin sebab Gayong adalah antara aliran yang mempunyai ahli yang paling ramai, jadi demonstrasinya lebih kerap boleh ditonton di mana-mana. Selain Gayong, Silat Cekak, Tae Kwon Do dan Karate (sekadar menyebut beberapa aliran) juga antara aliran yang well prepared dan sistematik bila buat demo.



Faktanya, setiap seni beladiri mempunyai kehebatan dan tarikan tersendiri, cuma dari pemerhatianku, kadang-kadang ada sesetengah peserta atau jurulatih demonstrasi kurang memberi fokus kepada mutu dan kelancaran persembahan, sama ada perancangan dibuat secara agak tergesa-gesa atau kurang latihan untuk demo tersebut, hanya diri mereka sendiri yang boleh menjawabnya. Jika penonton terdiri daripada khalayak yang tiada latar belakang seni beladiri, persembahan yang sederhana mungkin sudah mencukupi, tapi jika penonton adalah terdiri daripada pengamal seni beladiri, sedikit kecacatan, sama ada gerak demo yang terlalu perlahan, gerak yang teragak-agak atau kurang yakin, silap langkah, gerak yang tidak sychronize dengan pasangan tempur atau sebarang kesilapan yang paling kecil sekalipun akan dapat dikesan oleh penonton.

Memang demo bukanlah penentu sama ada sesuatu seni beladiri tersebut bagus atau tidak atau seseorang pengamal beladiri itu betul-betul mahir ataupun tidak secara realitinya, tetapi demo adalah pembuka mata kepada orang lain untuk lebih mengenali aliran yang dipersembahkan. Penonton tidak boleh menilai apa yang mereka tidak nampak, jadi adalah menjadi tugas pengamal beladiri untuk mempersembahkan kecantikan dan kehebatan beladiri mereka untuk menarik khalayak menyertai aliran masing-masing. Memang itu tujuannya kita membuat demonstrasi kan?

Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia ditubuhkan di IPT tempat aku belajar hanya beberapa tahun selepas aku belajar silat Cekak. Atas sebab-sebab yang tak dapat aku nyatakan (mungkin ada antara sahabat diluar sana yang tahu sebabnya) aku tak dapat menyertainya di kampusku sendiri. Berdasarkan maklumat yang aku perolehi daripada beberapa orang sahabatku yang juga merupakan jurulatih Gayong, gelanggang terhampir yang ada pada masa itu adalah di jalan Gombak, tetapi disebabkan masalah pengangkutan, aku tak dapat untuk berulang-alik ke sana. Nampaknya memang aku tiada jodoh dengan silat Gayong, tetapi aku masih kekal sebagai peminat setia...walau di mana aku berada dan walau aliran apa yang aku pelajari sekarang.

Friday, May 21, 2010

Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia

Setelah tertubuhnya Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Cekak Hanafi) dan Cekak Hanafi mengambil alih persatuan SC di universiti tersebut dari Silat Cekak Malaysia, aku bergiat aktif dalam latihan dan demonstrasi, seterusnya menjalani ujian Sijil Rendah Persilatan (SRP), dilantik sebagai Pembantu Jurulatih Percubaan sebelum menjadi Pembantu Jurulatih dan seterusnya sebagai Jurulatih dan menjalani ujian Sijil Menengah Persilatan (SMP).

Sebagai jurulatih, selain melatih penuntut untuk menghadapi ujian-ujian SRP dan SMP, aku juga selama enam tahun berturut-turut menjadi jurulatih untuk pasukan yang mewakili kampus kami ke Pertandingan Wajadiri Silat Cekak Hanafi peringkat kebangsaan. Antara tuan rumah pertandingan yang aku masih ingat ialah kampus kami sendiri, UIA, UM, UPM dan UKM. Sepanjang enam tahun, iaitu enam kali pertandingan, kami muncul sebagai juara keseluruhan sebanyak dua kali.



Setiap kali melatih peserta untuk pertandingan, aku sendiri selalu memberitahu mereka bahawa aku tak mahu mereka berlatih disebabkan untuk menjadi juara, tetapi aku cuma mahu mereka lakukan yang terbaik kerana soal menjadi juara tiada siapa yang boleh tentukan disamping setiap pasukan yang bertanding juga mempunyai kekuatan mereka tersendiri, sedangkan jika mereka melakukan yang terbaik, kemahiran dan ketangkasan yang diperolehi itulah yang lebih penting untuk mereka. Ringkasnya... aku tak kisah jika anak didikku kalah dalam pertandingan, asalkan mereka menunjukkan kesungguhan dan berdisiplin sepanjang aku melatih mereka.... namun berkat kesungguhan mereka, jarang antara mereka yang pulang dengan tangan kosong, yang pulang dengan tangan kosong hanya aku, iaitu jurulatih mereka, tetapi kepuasan yang aku perolehi tidak dapat digambarkan.

Terlalu banyak pengalaman berharga yang aku perolehi sepanjang menjadi jurulatih. Pelbagai ragam rakan-rakan jurulatih dan penuntut juga yang aku hadapi. Itu semua akan aku simpan kemas di dalam ingatan.

Seni Silat Cekak Malaysia

Melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti menemukanku dengan seni silat aliran Cekak Malaysia. Masa tu di universiti tersebut hanya ada dua seni beladiri iaitu Silat Cekak (SC) dan TKD. Memandangkan aku pernah mempelajari silat sewaktu di sekolah dahulu, aku memilih untuk mempelajari silat juga. Sangkaku dengan mempelajari Seni Silat Gayung Pancasila (SSGP) dahulu akan memberi kelebihan dari sudut kefahaman dan kemahiran gerak bila aku belajar SC, tapi sangkaanku silap. SC amat berbeza dari SSGP dan kebanyakan silat. SC menanti serangan tidak berkuda-kuda. Menyerang juga tiada kuda-kuda. Buah-buahnya segerak, tiada mengelak, cuma ada tangkisan dan gelek. Memang aku betul-betul kekok pada permulaan aku mempelajarinya, malah sebelum belajar SC, selepas melihat demonstrasi, sempat aku bertanya kepada jurulatih SC, “Tak boring ke bang Silat Cekak takde kuda-kuda?”... aku sendiripun tak tau apa jenis soalan yang aku tanya tu, ada pulak tanya pasal boring atau tak bila takde kuda-kuda...hehe...

Pada permulaan kelas, sewaktu belajar kaedah B, iaitu tangkisan untuk serangan pada bahagian dada... dengan yakinnya aku menepis sambil mengeraskan tanganku, sama dengan aku ambil tangkisan luar SSGP dulu, tapi tiba-tiba abang jurulatih disebelahku memperbetulkan cara tangkisan yang aku buat. Tangan aku yang dikeraskan tadi disuruh lembutkan dan jari-jari aku yang dah mengepak itupun disuruh rapatkan. Makin janggal jadinya aku. Kebiasaan yang dilakukan waktu dalam SSGP dulu nampaknya banyak yang tak boleh pakai bila belajar SC. Lepas tu abang tu ada jelaskan, “Kita lembutkan tangan sebab tangan yang sama akan kita gunakan lagi pada peringkat yang seterusnya. Kalau tangan kita keras, gerakan lanjutan akan jadi lambat.” Setelah semakin naik peringkat barulah semakin faham aku tentang konsep dan gerak dalam SC.

Krisis kepimpinan yang berlaku setelah beberapa tahun aku dalam SC telah menyaksikan persatuan yang menaungi SC berpecah kepada dua iaitu persatuan asal, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dan penubuhan Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia. Setelah meneliti segala penjelasan melalui semua sumber yang ada pada masa itu, aku membuat keputusan untuk memilih PSSCUHM.