Aku dan beberapa rakan seperguruan dalam SC sama-sama belajar Silat Sendeng dengan Cikgu Mail di kampus tersebut. Kami semua memanggil Cikgu Mail dengan panggilan “Tok”, dan sememangnya cara Tok melayan kami amat mesra... seperti anak dan cucu beliau sendiri, berbual dengan Tok mengingatkan aku pada atuk dan nenek aku di kampung.
Tok memang suka bercerita, banyak kisah-kisah beliau sendiri dan abangnya Pak Hamid diceritakan kepada kami, antaranya adalah kisah seorang guru silat yang mengaku kebal tapi berdarah dahinya kena penangan tangan besi Pak Hamid dan juga kisah seorang pakar kung fu yang datang mencabar tetapi dia sendiri yang tewas di tangan Pak Hamid.
Guru-guru silat kita dulu memang terserlah sifat patriotik mereka, sebagaimana kisah Ustaz Hanafi yang nyaris mencabut kepala lutut seorang pengamal satu seni beladiri Jepun kerana pengamal beladiri Jepun tersebut bertanyakan kepada Ustaz Hanafi sama ada silat orang Melayu bagus atau tidak. Tujuan Ustaz Hanafi adalah supaya pengamal beladiri tersebut balik ke Jepun dan menunjukkan kepada rakan-rakannya di sana, “Inilah penangan Silat Melayu”, tetapi nasibnya baik kerana atas sebab yang tertentu, pergaduhan itu tidak berlaku.
Satu peristiwa tentang Tok yang aku tak dapat lupakan sehingga sekarang adalah pada hari di mana Tok membacakan doa selamat sebagai menerima kami sebagai murid beliau. Setelah beberapa hari kami berlatih, Tok memanggil aku dan kawan-kawanku yang berjumlah lebih kurang 4 - 5 orang, berdiri membentuk bulatan termasuk Tok sendiri. Tok membacakan doa sebagai menerima dan mengiktiraf kami sebagai muridnya, selepas itu Tok menunjuk kepada kami seorang demi seorang sambil menyebut aliran silat yang pernah kami pelajari sebelum melangkah ke gelanggang sendeng tersebut. Tok menunjuk kepadaku, sambil menyebut “Cekak”, seterusnya kawan sebelahku, “Gayong”, sambil menunjuk kepada kawanku yang seterusnya Tok berkata, “Kau silat apa tu, yang kat Melaka...”, kawan aku menjawab, “Silat Pelanduk Putih”.
Aku terkejut bercampur kagum. Kalau aku... mungkin Tok tau aku pernah belajar Silat Cekak sebab kami pernah berjumpa dan berbual seperti yang pernah aku ceritakan sebelum ini, tetapi bagaimana dia tahu apa yang kawan-kawanku belajar sebelum ini sedangkan aku sendiri tak tau apa yang mereka belajar. Aku bertanya kepada kawan-kawanku pernahkah mereka beritahu sesiapa silat apa yang mereka belajar sebelum ini, mereka jawab tak pernah. Bagi Tok seolah-olah tertulis kat dahi kami apa nama silat yang kami belajar sebelum ini, hehe... dan untuk makluman anda, ini bukanlah kali pertama aku temui orang yang berkebolehan menceritakan tentang orang lain yang tak pernah mereka kenali. Kami pula, kononnya nak rahsiakanlah dari Tok yang kami semua pernah belajar silat lain, tapi sekali silap orang daaa.... kantoi la pulak dengan Tok.
Sehingga kini, walaupun telah belasan tahun berlalu sejak aku berguru dengan Tok, walaupun aku hanya belajar SS sehingga sekali ujian, kenangan itu tak mungkin aku lupakan. Aku hormat Tok, dengan sifatnya yang mudah mesra dan tidak meninggi diri walaupun beliau seorang yang bertaraf guru. Semoga roh Tok @ Allahyarham Haji Ismail bin Haji Hamzah yang meninggalkan kita pada tanggal 22 Mac 2002 di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.
What is Gayong?
1 year ago
No comments:
Post a Comment