Monday, February 27, 2012

Malam Pendekar 2012

Pada hari Sabtu, 25 Feb. 2012, telah berlangsung Malam Pendekar 2012 bertempat di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ianya adalah anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia USM dan dirasmikan oleh Presiden PERSAKA, Datuk Seri Muhammad Ali Rustam. Sebenarnya aku tak tahupun akan berlangsungnya acara ni, tetapi ada seorang sahabat terlanjur bertanya kepadaku, "Tuan terlibat ke dengan Malam Pendekar nanti?" Aku dengan naifnya bertanya balik, "Hah? Malam Pendekar? Bila? Kat Mana?" Maka dari situlah baru aku tahu setelah mendapat jawapan dari sahabatku tadi.


Dipendekkan cerita, selepas berakhirnya ucapan oleh perasmi, persembahan dimulakan oleh tuan rumah iaitu Cekak Malaysia, diikuti oleh Silat Gayung Makrifat, Silat Pusaka Warisan, Cekak Malaysia persembahan ke-2, Silat Pusaka Gayung, Silat Laksamana Raja Laut, Cekak Malaysia persembahan ke-3, Silambam, Kelab Kung Fu USM, dan diakhiri dengan persembahan parang lading Cekak Malaysia.

Secara keseluruhan persembahannya boleh la tahan. Nampaknya ramai yang kurang latihan dan persediaan untuk membuat persembahan dalam acara yang boleh dianggap besar itu. Anugerah persembahan paling mantap aku berikan kepada silat Pusaka Gayung dan diikuti oleh silat Pusaka Warisan. Pergerakan mereka tidak teragak-agak dan penuh yakin. Persembahan silat lain agak hambar. Kelab Kung Fu USM hanya persembahkan sedikit pergerakan mereka. Silambam juga boleh dipuji...dengan menunjukkan kemahiran mereka memusing kayu dan buah-buah Silambam jelas menunjukkan kesungguhan mereka dalam membuat persembahan.



Secara keseluruhan persembahan semua aliran beladiri adalah memuaskan, cuma ada satu perkara yang aku agak kurang senang...iaitu adanya suara-suara sumbang yang kedengaran dari belakang tempat dudukku ketika sedang berlangsungnya persembahan Silambam dan Kung Fu, yang mana aku amat pasti mereka adalah orang-orang silat. Suara-suara tersebut seolah-olah memperlekeh persembahan yang dibuat oleh Silambam dan Kung Fu tersebut. Nampaknya masih ada orang silat yang mempunyai mentaliti seperti itu.

Belasan tahun yang lepas aku pernah berbual dengan seorang guru silat yang juga salah seorang tenaga penggerak majalah Pendekar... beliau mengatakan bahawa pada masa itu ramai orang silat yang suka memperlekeh atau memandang rendah pada beladiri aliran lain terutama aliran bukan silat. Beliau juga bertanya, orang-orang itu merendah-rendahkan Silambam...tapi kalau bagi kayu panjang kepada mereka, boleh ke mereka pusing macam yang ahli Silambam buat? Belum tentu lagi kan? Dan kalau bukan sebab itu sekalipun, kita harus belajar menghormati ilmu yang ada pada orang lain jika kita mahu mereka menghormati ilmu kita. Dah agak lama aku tak menonton apa-apa persembahan beladiri, tak sangka pula isu yang dah berbelas tahun diceritakan masih berlaku pada masa ini. Aku harap keadaan itu akan berubah suatu masa nanti.






Video akan menyusul nanti...sabaq naa...

Friday, February 24, 2012

Flashback 2 : Berhenti Dari Silat Cekak

Sekitar tahun 2003, sekali lagi taufan melanda silat cekak, malah taufan kali ini lebih hebat berbanding tahun 1993 dulu. Kalau dulu krisis yang berlaku telah membawa pecahnya persatuan silat cekak kepada cekak malaysia dan cekak hanafi, kali ini silat cekak hanafi terpecah lagi kepada dua iaitu cekak hanafi di bawah Marwi Latif dan cekak pusaka hanafi di bawah Md Radzi Hanafi. Disebabkan aku menyokong kepimpinan guru utama cekak pusaka hanafi iaitu Md Radzi Hanafi dan disebabkan kelas latihan di universiti tempat aku mengajar telah di 'hijack' oleh orang-orang di bawah guru utama baru iaitu Marwi Latif... maka rasmilah aku berhenti dari menjadi jurulatih silat cekak.


12 tahun adalah suatu jangka masa yang agak lama dan memberikan aku banyak pengalaman tentang silat... bukan hanya silat cekak, tetapi sepertimana yang terkandung dalam peringkat buah umum... ia membuka jalan untuk aku mengkaji dan mengambil tahu tentang aliran lain juga sama ada silat ataupun bukan silat.

Sebenarnya... isu kelas latihan kena 'hijack' hasil daripada perpecahan yang berlaku pada peringkat tertinggi persatuan silat cekak hanafi bukanlah satu-satunya faktor kenapa aku berhenti terus dari terlibat dengan silat cekak, tetapi juga rentetan dari pelbagai fitnah dan kata-kata nista manusia-manusia yang berhati busuk dan berkepentingan peribadi. Aku berundur bukan sebab aku kalah dengan manusia-manusia itu... kerana aku telahpun berdepan dengan manusia-manusia berperangai sedemikian seawal tahun-tahun pertama penglibatanku dengan cekak hanafi lagi, tetapi ada satu perkara yang menjadi sebab utama kepada keputusanku itu... tetapi sebagai menghormati pihak-pihak tertentu, perkara tersebut tak dapat aku sebutkan di sini.


Cukup sekadar aku katakan... masih ada konsep dan falsafah silat cekak yang aku masih pegang sehingga sekarang.... cuma untuk aktif kembali... belum terfikir buat masa ini. Untuk masa yang akan datang? Ntah...akupun tak tau....

Tuesday, February 21, 2012

Ada Apa Dengan Demonstrasi Silat

Demonstrasi silat yang pertama aku sertai adalah demonstrasi sempena pendaftaran dan pengambilan ahli baru silat cekak di kampus universiti tempat aku belajar. Demo pertama aku itu juga adalah persembahan silat cekak yang pertama di kampus tersebut di bawah kepimpinan guru utama baru pada masa itu iaitu Md Radzi Hanafi, anak keempat Almarhum Ustaz Hanafi. Demo pertama itu agak istimewa dan aku ingat sampai sekarang...sebabnya? Selepas selesai ucapan oleh presiden penaja dan penyelia kelas, baru demo dimulakan... di tengah panas terik matahari, di atas tar (parking lot) dan di bulan puasa... cukup resepi.

Selepas itu banyak lagi persembahan yang aku terlibat termasuk demo sempena Festival Silat Sedunia di stadium negara, demo sempena pelancaran Malaysia-Everest di Dataran Merdeka, demo Rakan Wajadiri KBS di seluruh negara termasuk di Dataran Johor Bahru dan Alor Setar. Jemputan demo silat dalam kampus tak yah cerita la... memang banyak. Setelah dilantik sebagai jurulatih, aku diamanahkan pula melatih pelapis squad demonstrasi di samping melatih anak-anak buah untuk persediaan ujian-ujian Sijil Rendah Persilatan (SRP) dan ujian Sijil Menengah Persilatan (SMP).


Setelah bermulanya pertandingan wajadiri silat cekak hanafi peringkat kebangsaan yang pesertanya terdiri daripada hampir semua kelas latihan cekak hanafi di peringkat sekolah, cawangan negeri dan institut pengajian tinggi di seluruh negara, aku terlibat pula melatih pasukan yang akan mewakili universiti. Terlalu banyak pengalaman yang aku lalui sepanjang 6 tahun berturut-turut melatih anak-anak buahku.


Bagiku ada beberapa kelebihan bila seseorang ahli senibeladiri itu terlibat dengan demonstrasi beladiri. Untuk membuat persembahan, kita perlu berlatih beberapa kali dan proses yang sama akan berulang untuk setiap demonstrasi yang disertai, jadi waktu itulah kreativiti, ketangkasan, kepantasan gerak dan kemahiran akan meningkat. Itu memang terjadi kepada anak-anak didikku... ada antara mereka yang pada awalnya teramatlah lembiknya bila buat buah silat hingga stress aku dibuatnya, tetapi sampai satu tahap... peningkatan mereka begitu drastik, jadi mantap dan tangkas... dan hasilnya ada antara mereka yang menjadi juara dalam kategori masing-masing.

Kepada adik-adik atau sahabat-sahabat yang selalu buat persembahan beladiri, ada beberapa panduan yang suka abang kongsikan di sini... pakailah kalau nak, kalau tak nak sudah....bukan ada sapa boleh paksa ponnnn... hehe...

- Jangka masa persembahan: Jika demo adalah atas jemputan pihak lain, dapatkan maklumat jangka masa persembahan yang diperuntukkan dan pukul berapa bermulanya. Selalu terjadi peserta demo syok sendiri buat demonstrasi sampai terbabas-babas dari masa yang diperuntukkan sehingga mengganggu perjalanan majlis. Orang bagi 10 minit dibantainya 40 minit, mana tak lari agenda majlis.

- Lokasi persembahan: Pastikan di mana demo akan diadakan, adakah di atas pentas, di padang, court badminton atau lain-lain kerana... adalah penting untuk kita setkan format demo yang bersesuaian dengan keluasan tempat. Kalau kat pentas muat 10 orang, tetiba kita bawa 20 orang peserta demo susah juga. Ataupun kalau demo kat padang... luas lak tu, tup-tup kita cuma set demo untuk 2 orang... sayup je la penonton nampak.

- Posisi penonton: Adakah penonton hanya berada di depan sahaja? Atau di sekeliling? Jarak penonton dengan ruang demonstrasi? Ini juga penting untuk kita setkan format demonstrasi. Kalau tempat kecik dan penonton pula rapat dengan ruang demo, rasanya tak sesuai kalau nak buat pentas parang atau tongkat panjang... nanti ada penonton yang masuk spital pulak.

- Kaedah buah: Kadang-kadang sebab nak tunjuk terer depan penonton, kita belasah partner betul-betul, konon supaya penonton tahu silat kita ganas dan terer sedangkan hakikatnya kadang-kadang penonton tak dapat nak menghayatipun 'keganasan' kita tu... contohnya kalau kita tumbuk betul-betul di dada partner takde bunyipun, kesan kepada penonton tak sampai sedangkan partner pulak yang kesakitan... alternatifnya kita buka tangan dan tepuk di dada, bunyinya lebih 'menggerunkan' penonton dan partnerpun rasa macam kena urut je. Sebenarnya banyak lagi kaedah yang boleh dilakukan untuk buat buah supaya penonton nampak macam betul sedangkan itu semua dah dirancang, tujuannya adalah untuk menjadikan demo itu puas ditonton tanpa mencederakan atau membuat partner menderita. Soal tips ini anda perlu refer senior yang berpengalaman dalam demo aliran masing-masing sebab benda ni kena tunjuk praktikal baru jelas.

- Senjata: Sekiranya demo melibatkan penggunaan senjata, pastikan kita cukup latihan untuk mengendalikan senjata tersebut dengan baik kerana takut membahayakan penonton. Aku pernah saksikan demo silat yang pisaunya terlepas dan terpelanting dari tangan pesilat dan nyaris terkena pada penonton... buatnya pisau tu terpacak kat kepala penonton tu... jawablah engkorang.

- Format persembahan: Kalau demo kita di tempat-tempat yang berbeza dengan kumpulan penonton yang juga berbeza, eloknya tak perlu kita tukar format persembahan. Ini akan menjimatkan masa latihan dan menjadikan peserta lebih mahir kerana sentiasa berlatih gerakan dan set buah yang sama.

- Tersilap sewaktu persembahan: Jika ada antara peserta tersilap buat pergerakan atau buah sewaktu demo, betulkan kembali dengan cepat. Kadangkala penonton tak perasanpun kesilapan tu sebab diaorang bukan tahu bagaimana buah silat kita dan apa pergerakan yang kita set, tetapi kalau lepas buat silap tu kita tersengih-sengih dan terkulat-kulat kat pentas tu dah sah-sah penonton akan tahu yang kita dah buat silap.

Banyak dah tips tu, nanti jadi novel pulak... ada jugak yang bosan nanti. Seperti yang pernah aku nyatakan sebelum ini, persembahan beladiri adalah sebagai pintu untuk penonton mengenali aliran beladiri masing-masing, jadi kita perlu menunjukkan 'kecantikan' aliran masing-masing agar penonton teruja dan seterusnya berminat untuk menyertai.

Lian Padukan

Lian padukan diasaskan oleh Mohamed bin Chik atau lebih dikenali sebagai Pak Mat Kedidi sebelum diteruskan oleh guru utamanya sekarang. Menjadikan konsep 'berdiri musuh' sebagai panduan tempur, lian padukan juga menekankan kaedah pukulan yang bertubi-tubi dan berterusan ke atas musuhnya sehingga musuhnya tumbang.


Sempat beberapa tahun aku mempelajari buah pukul lian padukan. Beberapa tahun... bunyinya macam lama, tapi disebabkan beberapa kekangan, aku tak dapat turun latihan setiap minggu seperti yang sepatutnya. Aku cuma sempat belajar sehingga lian empat sebelum aku berhenti sepenuhnya dari berlatih.