Monday, July 19, 2010

Seni Silat Sendeng Malaysia

Sekitar tahun 1990-an di Taman Melawati...dari tingkap ofis aku dapat melihat beberapa orang pelajar sebuah kolej di situ sedang berlatih. Habis waktu kerja, aku mendekati dan berbual dengan mereka...dan dari situ aku tahu mereka berlatih Seni Silat Sendeng (SS). Sewaktu aku masih belajar SC dahulu, salah seorang jurulatihku pernah berkata, secara peribadi beliau meminati dan mengagumi beberapa aliran silat yang mana salah satu daripadanya adalah Silat Sendeng. Jadi secara tak langsung, setelah memperolehi sedikit sebanyak maklumat, ianya mempengaruhi fikiranku untuk mengenali silat ini.

Pernah suatu masa, sewaktu aku bersama ahli-ahli SC baru selesai mengadakan demonstrasi pengenalan dan pengambilan ahli baru di kampus tempat aku mengajar SC, kami didatangi oleh beberapa orang yang sebahagiannya aku kenali sebagai ahli SS. Tempat latihan mereka cuma lebih kurang 100 meter dari tempat kami membuat demonstrasi. Salah seorang daripada mereka (yang aku tidak kenali pada masa itu) bertanya adakah ada antara kami yang mengenali beliau. Kami yang pada masa itu boleh dianggap generasi baru jadi terpinga-pinga bila disoal begitu oleh orang yang tidak kami kenali. Setelah jurulatih senior kami datang, barulah kami tahu bahawa orang yang menegur kami tadi adalah Hj. Ismail Hj. Hamzah, Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia.


Agak lama kami berbual dengan beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mail dan beberapa orang ahli SS yang lain. Beliau begitu peramah dan mesra walaupun pertama kali berjumpa. Dari perbualan itulah baru aku tahu bahawa dia merupakan kawan baik dengan Ustaz Hanafi iaitu pengasas SC, manakala abangnya iaitu Hj. Hamid Hj. Hamzah yang juga dikenali sebagai Pak Hamid tangan besi, pengasas PSSSM pula berkawan dengan Yahya Said, guru kepada Ustaz Hanafi. Banyak pengalaman yang diceritakan dalam pertemuan singkat itu.


Dari beberapa pertemuan dengan ahli-ahli dan guru SS itulah yang mencetuskan minatku untuk mengenali SS dengan lebih dekat. Jadi aku nekad untuk mempelajarinya...di gelanggang latihan di kampus yang sama. Aku, disertai beberapa orang kawan mula mempelajari SS di bawah jurulatihnya Cikgu Mail sendiri dan beberapa pelatih senior. Latihannya agak keras, masa tu aku rasa stamina masih baik lagi, tapi kalau sekarang ni kena buat latihan macam tu, mau pancit rasanya. Setelah beberapa bulan berlatih, atas sebab-sebab yang aku sendiri tidak ketahui, gelanggang SS di kampus tersebut ditutup. Aku hanya sempat menjalani ujian peringkat pertama sahaja, itupun dibuat di sebuah masjid di Sri Damansara. Memang di masjid itu ada gelanggang latihan, tetapi lokasinya yang agak jauh dari kampus beserta masalah pengangkutan, aku tak dapat meneruskan latihan SS....dan di situlah jodohku dengan SS berakhir.

Friday, July 2, 2010

Drama dan Filem Beladiri

Filem dan drama berunsur seni beladiri, sama juga seperti demonstrasi, ada yang bagus, pantas, tangkas dan mempunyai gerak yang mengagumkan dan sebaliknya pula ada yang dibuat sambil lewa, gerakan lembab, langkah sumbang...janji ada sepak dan tumbuk, kira seni beladirilah tu. Sahabat semua sendiri sedia maklum yang mana satu filem atau drama seni beladiri yang bagus dan yang mana tidak, apatah lagi sebagai seorang pengamal beladiri, kita tau pelakon mana yang ada kemahiran atau tidak. Bukan tidak pernah kita menonton filem yang bila heronya membuka langkah silatnya sahaja dah terserlah sumbangnya dan amat ketara yang dia tidak mempelajari apa-apa seni beladiri, kaku semacam je. Kalau nak cerita tentang perkara ini sahaja memang panjang, jadi dicadangkan sahabat pergi ke link berikut untuk lebih jelas. http://www.filemkita.com/maklumat/artikel/artikel_01.html

Antara drama dan filem berunsur seni beladiri yang aku minati sejak dulu hingga sekarang adalah seperti Luk Tujuh, Pendekar Kundur, Keris Hitam Bersepuh Emas, Matinya Seorang Patriot, Puteri dan Syahadat, manakala filem-filem luar pula adalah seperti Fist of Legend, SPL, Dragon Tiger Gate, Fighter In The Wind, Zatoichi, Crying Freeman, Ong Bak, Tom Yum Goong dan Ip Man.



Ada sesiapa boleh cadangkan apa lagi tajuk filem-filem yang aksi seni beladirinya boleh dikategorikan sebagai bagus? Terima kasih